SAUDARA PENGARANG,
PERTUBUHAN Kerjasama Islam (OIC) harus dirombak semula kerana gagal berfungsi secara efektif bagi membela nasib negara-negara Islam yang mudah dibuli dan ditindas oleh kuasa Barat yang sentiasa menjadi proksi kepada Israel.
Amerika Syarikat dan negara-negara Barat lain pada hakikatnya adalah proksi kepada Israel dan tindakan-tindakan ke atas negara-negara Islam yang lemah seperti Palestin adalah semata-mata untuk memelihara keselamatan Israel yang wujud dari tanah orang Palestin.
Namun, negara-negara Islam di Asia Barat juga harus dipersalahkan kerana mereka tidak boleh bersatu padu untuk membina kekuatan Islam di sana.
Amat tidak masuk akal bagi sebuah negara kecil seperti Israel dapat bermaharajalela dengan menindas hak-hak rakyat Palestin selama hampir 70 tahun.
Walhal, Israel dikelilingi negara-negara Islam bertaraf dunia seperti Lebanon, Jordan, Syria, Mesir dan Arab Saudi.
Allah SWT menganugerahkan telaga-telaga minyak yang banyak dan besar pada negara-negara Islam sebagai ‘senjata’ utama untuk mempertahankan diri atau menawan ekonomi dunia ini.
Inilah keajaiban anugerah Allah SWT kepada negara-negara Islam yang tidak dimanfaatkan secara terbaik mungkin bagi melawan kuasa Barat yang zalim.
Disebabkan sifat kejahilan orang-orang Arab yang masih tidak mahu bersatu padu sesama sendiri, akhirnya mereka tidak mampu berbuat apa-apa bagi mempertahankan hak rakyat Palestin apabila negara Israel diwujudkan daripada rampasan tanah milik orang Islam itu.
Umat Islam sejagat dan pemimpin-pemimpin OIC hanya mampu berpeluk tubuh memerhati Israel membuli rakyat Palestin.
Pada zaman, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, suara beliau kedengaran secara amat lantang serta agresif melalui platform OIC mahupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam memperjuangkan isu Palestin, Bosnia, Kosovo dan beberapa lagi.
Negarawan ini bukan sahaja bercakap tetapi terus membela negara-negara Islam yang ditindas oleh rejim Zionis mahupun Barat pada waktu itu.
Pada masa sekarang, pemimpin-pemimpin Arab terlalu meletakkan fokus berbalah sesama sendiri dan amat hairan apabila melihat mereka tidak mempunyai semangat secara jujur untuk membela negara-negara Islam yang ditindas oleh rejim Zionis dan kuasa-kuasa Barat dari dahulu sehingga kini.
OIC adalah sebuah pertubuhan yang amat lemah dan kepimpinannya tidak berdasarkan pada ajaran Islam sebenar berteraskan al-Quran serta sunnah.
Jika kita berpegang erat pada ajaran Islam yang tulen, sudah pasti nasib negara-negara Islam tidak boleh disentuh dan dipersendakan oleh mana-mana kuasa besar dunia sekalipun.
Pemimpin-pemimpin Islam lebih berpaksikan pada unsur-unsur kejahilan dan kufur nikmat daripada berpegang pada semangat solidariti ummah sejagat.
Sudah sampai masanya tokoh seperti Dr. Mahathir dipilih untuk mengepalai OIC bagi melaksanakan agenda menyatupadukan dan seterusnya memperkuatkan solidariti ummah sejagat bagi melawan kuasa-kuasa besar Barat yang menjadi proksi kepada Israel.
Amat memalukan kerana OIC yang sepatutnya boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan PBB tidak dihormati mahupun digeruni oleh Barat dan sekutunya. – UTUSAN
KHAIRUDDIN ABU HASSAN, Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu