Risau belanjawan meningkat tapi tidak mesra rakyat

Risau belanjawan meningkat tapi tidak mesra rakyat

BELANJAWAN 2024 yang tidak mesra rakyat telah menimbulkan perasaan bimbang dalam kalangan orang ramai. – GAMBAR HIASAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BELANJAWAN 2024 dilaporkan sebagai peruntukan tertinggi dalam sejarah negara iaitu RM393.8 bilion.

Untuk memenuhi peruntukan besar ini, kerajaan telah memperkenalkan beberapa dasar baharu bagi menjana pendapatan negara, umpamanya Cukai Keuntungan Modal, perbelanjaan subsidi tersasar dan menaikkan cukai perkhidmatan kepada lapan peratus.

Saya bersetuju dengan pendapat yang menyatakan kerajaan tidak wajar menggunakan pendekatan menaikkan kadar cukai atau memperkenalkan cukai baharu bagi meningkatkan pendapatan.

Sebaliknya, sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu dibesarkan agar dapat menghasilkan pulangan lebih tinggi, sekali gus menambah kutipan cukai pada kadar sedia ada.

Terdapat laporan lain yang menyatakan langkah menaikkan cukai perkhidmatan dan meluaskan liputannya akan memberi impak segera apabila menyebabkan peningkatan kos menjalankan perniagaan kerana kenaikan itu akan disalurkan kepada pengguna dan perniagaan pada penghujung hari.

Saya berpendapat, Belanjawan 2024 ini tidak mesra rakyat sebaliknya ia mewujudkan perasaan bimbang. Kerana di dalam minda rakyat sedang berfikir bagaimana hendak menghadapi kehidupan dengan harga barangan keperluan yang dijangka meningkat, sedangkan pendapatan masih di takuk yang lama.

Dasar-dasar seperti menaikkan kadar cukai perkhidmatan, memansuhkan subsidi minyak diesel dan keadaan mata wang ringgit yang semakin lemah akan memberi kesan tidak langsung kepada harga barangan dan mengakibatkan rakyat sengsara.

Adalah lebih baik kerajaan membuat dasar yang boleh mengawal nilai ringgit dari terus jatuh, dasar penghasilan dan pengeluaran makanan tempatan supaya tidak berterusan bergantung pada import, kawal harga keperluan supaya tidak membebankan. Ini penting kerana kerajaan perlu membangun dan memakmurkan rakyat.

Carilah satu usaha yang dapat membantu rakyat menjana pendapatan lumayan. Dari sini, kerajaan tetap akan mendapat hasil kutipan cukai yang memuaskan di samping rakyat menjadi lebih selesa.-UTUSAN

AZMAN MOHD. HASHIM
Jawatankuasa Sekretariat Tanah Air

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya