SAUDARA PENGARANG,
RAMAI dalam kalangan pesakit kencing manis gagal untuk pulih atau menjalani hidup lebih baik. Isunya bukan kerana tidak mengambil ubat mengikut saranan doktor, sebaliknya gagal mengawal pemakanan sehingga menyebabkan penyakit itu bertambah teruk.
Mereka beranggapan dengan mengambil ubat mengikut nasihat doktor sudah memadai, tetapi tidak memahami kelenjar pankreas terpaksa ‘bekerja keras’ untuk menghasilkan insulin kerana sikap tidak mengawal pengambilan makan atau obesiti.
Jadi, selain menjaga pemakanan, pesakit perlu menurunkan berat badan untuk mengurangkan kerja kelenjar pankreas menghasilkan insulin.
Sebenarnya seseorang pesakit kencing manis boleh sahaja memakan semua jenis makanan tetapi jangan mengambil makanan manis dan makan secara sederhana.
Jika anda diagnosis dengan penyakit ini, teruskan mengambil ubat dan membeli glucometer. Sentiasa memantau kandungan glukosa dalam darah setiap minggu dengan cara berganti-ganti. Pertama, lakukan sebelum makan dan pada minggu kedua pula, lakukan dua jam selepas makan dan ulang langkah ini untuk minggu-minggu seterusnya.
Selain itu, beli juga kit ujian air kencing dan lakukan dua hari sekali. Dalam masa sama, jadikan menu sihat sebagai amalan harian. Jangan lupa makan dalam kuantiti sederhana sahaja.
Pesakit kencing manis berkemungkinan berdepan kegagalan ginjal dan perlu membuat ujian kesihatan bagi serum kreatinin pada setiap tiga bulan. Pastikan dapatkan pandangan doktor untuk memastikan kesihatan anda sentiasa pada tahap terbaik.-UTUSAN
DR. SYAM MALIKIWI
Kuala Lumpur