SAUDARA PENGARANG,
KERAJAAN baru-baru ini bercadang untuk meningkatkan kadar cukai perkhidmatan kepada lapan peratus daripada enam peratus sambil memperkenalkan pengecualian untuk beberapa industri tertentu. Namun, perubahan terbaharu dalam kenaikan cukai dan pengecualian kenaikan kadar ini untuk industri tertentu akan menimbulkan masalah lain.
Tujuan utama kenaikan cukai perkhidmatan tidak begitu jelas. Sekiranya matlamatnya bertujuan memberi hasil kepada negara tetapi dengan pengecualian kadar cukai perkhidmatan adalah langkah kurang tepat.
Kos pemunggutan cukai akan meningkat kerana menambah pengecualian kepada beberapa industri tertentu menjadikan sistem ini rumit.
Mungkin kadar yang rendah untuk industri tertentu bertujuan memperbaiki kesan kenaikan cukai terhadap pengguna.
Bagaimanapun, kesan ini boleh secara tidak sengaja merosakkan matlamat utama penghasilan pendapatan daripada perubahan cukai.
Sebagai contoh, pengecualian kenaikan kadar cukai perkhidmatan ke atas industri makanan, minuman dan telekomunikasi mungkin diberi kerana cuba menyokong isi rumah berpendapatan rendah. Namun, ini boleh menyebabkan kerugian pendapatan yang besar kepada negara. Ini kerana keduadua golongan berpendapatan tinggi dan rendah membeli makanan, minuman dan telekomunikasi dalam kuantiti berbeza.
Kedua-dua golongan ini akan mendapat impak daripada kenaikan kadar cukai perkhidmatan pada industri yang akan terkesan. Golongan berpendapatan rendah mungkin akan lebih merasai impak ini kerana sumber pendapatan terhad.
Memperkenalkan kadar cukai perkhidmatan yang berbeza-beza untuk industri tertentu akan menyebabkan munculnya kumpulan berpengaruh melobi untuk mendapatkan kadar cukai yang rendah. Kumpulan ini akan berusaha melobi dengan luas, menggunakan sumber untuk mempengaruhi pembuat dasar agar kadar yang rendah dapat dinikmati oleh mereka.
Sebaliknya sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) mempunyai satu kadar cukai sahaja merupakan yang ideal.
Pendekatan ini memastikan pengguna tidak mempunyai insentif kewangan untuk beralih kepada barang dan perkhidmatan dengan kadar cukai lebih rendah kerana ini mungkin tidak sepadan dengan kehendak mereka.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. ANNA AZRIATI CHE AZMI
Fakulti Perniagaan& Ekonomi
Universiti Malaya