Rakyat Malaysia boleh ‘berperang’ bagi pihak Palestin - Utusan Malaysia

Rakyat Malaysia boleh ‘berperang’ bagi pihak Palestin

BAYANGKAN trauma anak-anak kecil di Semenanjung Gaza yang kehilangan ibu bapa sekelip mata. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

NYAWA penduduk Palestin tidak ubah seperti telur di hujung tanduk apabila rejim Zionis Israel berterusan melakukan serangan balas pengeboman di Semenanjung Gaza.

Kira-kira 64 peratus daripada bilangan yang terbunuh ini adalah terdiri daripada wanita dan kanak-kanak. Bayangkan trauma anak-anak kecil yang kehilangan ibu bapa sekelip mata.

Mereka terpaksa tidur di celahan katil hospital yang merawat mangsa lain kerana takut dibedil jika berterusan berkeliaran di luar. Mampukah kita berhadapan dengan situasi seperti ini sekiranya ia berlaku kepada ahli keluarga kita sendiri?

Kebanyakan daripada rakyat Palestin bukan sahaja kehilangan ahli keluarga, bahkan mereka juga bergelut dengan kelaparan dan kesejukan pada waktu malam tanpa tempat untuk berteduh.

Lebih 470,000 orang dilaporkan kehilangan tempat tinggal dan kekurangan air. Di Semenanjung Gaza, peti penyejuk menyimpan mayat di hospital juga sudah tidak mampu untuk menampung keperluan mendesak sejak berlakunya serangan udara Israel.

Krisis yang melanda di sana seharusnya membuka mata kita semua tanpa mengira agama mahupun bangsa. Kebebasan penduduk diragut dan mereka juga berhadapan dengan ancaman kehilangan nyawa.

Namun, semangat perjuangan rakyat Palestin untuk bangkit membebaskan tanah air mereka yang tercinta daripada cengkaman rejim Zionis Israel tidak pernah luntur.

Secara tidak langsung, detik-detik sukar yang berlaku di Semenanjung Gaza kini menjadi penyuntik semangat jihad umat Islam khususnya. Walaupun kita tidak mampu untuk berada di tanah Palestin secara fizikal, namun tidak menjadi halangan untuk kita menyatakan solidariti kepada mereka.

Bagi rakyat Malaysia, terdapat banyak cara lain untuk kita turut berjihad walaupun tidak berada di medan peperangan. Sebagai contoh, kita boleh menyumbangkan bantuan dari segi kewangan kepada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan yang mengutip sumbangan untuk rakyat Palestin.

Dalam pada itu, menurut laporan Digital 2023, purata pengguna internet di Malaysia yang berusia antara 16 hingga 64 tahun menghabiskan masa selama dua jam 47 minit menggunakan media sosial setiap hari.

Berdasarkan angka ini, secara umumnya rakyat Malaysia menggunakan masa hampir tiga jam setiap hari untuk melayari media sosial. Oleh itu, umat Islam tidak seharusnya menjadi pengguna media sosial yang pasif.

Jadikan media sosial sebagai medan untuk kita ‘berperang’ menyebarkan informasi dan kesedaran kepada orang sekeliling tentang isu yang sedang melanda Semenanjung Gaza.

Jika tidak mampu untuk memuat naik sendiri bahan di media sosial kita, paling tidak kita boleh berkongsi maklumat yang diyakini sahih. Hanya dengan satu ketikan di hujung jari, kita mampu meraih pahala dan saham akhirat.

Usaha bagi meningkatkan kesedaran ini amat penting. Betapa ramai umat Islam yang masih lalai dan tidak cakna akan perjuangan saudara seagama di Palestin. Mereka bukan sahaja mempertahankan tanah air bahkan turut berjuang mempertahankan Masjid Al-Aqsa yang pernah menjadi kiblat pertama umat Islam.

Tuntasnya, nikmat iman, Islam dan juga keamanan adalah nikmat yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit. Melihat situasi semasa di Semenanjung Gaza sepatutnya menjadikan kita lebih mensyukuri nikmat kehidupan kita selama ini.

Lakukanlah walau sekecil apa jua usaha untuk membantu insan lain yang memerlukan. Nescaya, kita akan menuai hasilnya di akhirat kelak. – UTUSAN

FARHANA ABD. HAMID
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya