Perluaskan tanaman padi ke Sabah, Sarawak - Utusan Malaysia

Perluaskan tanaman padi ke Sabah, Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MENGAMBIL kira bilangan penduduk dunia yang akan mencecah 9.7 bilion pada 2050, isu sekuriti makanan pada masa depan harus diberikan perhatian serius.

Dalam konteks Malaysia pula, negara sudah sekian lama memilih untuk menumpukan ekonomi berasaskan perindustrian. Pada 1980 terdapat 700,000 hektar kawasan tanaman padi dan jumlah itu semakin mengecil kepada 436,054 hektar sahaja pada tahun ini.

Lebih malang lagi terdapat hampir 120,000 hektar tanah yang terbiar dan tidak diusahakan. Pada waktu sama terdapat hampir 30,000 hektar kawasan padi ditukar menjadi kawasan industri dan perumahan.

Pada waktu ini, Malaysia memerlukan 1.8 juta tan beras untuk menampung keperluan rakyat. Tetapi, mengambil kira pertumbuhan penduduk pada kadar 2.1 peratus setahun, rakyat Malaysia akan menjadi 35.4 juta pada 2025 dan 39.1 juta pada 2030.

Ini akan memberi impak kenaikan ketara kepada keperluan beras negara di mana Malaysia memerlukan tambahan lebih dua juta tan sementara 2030 memerlukan 2.7 juta tan beras setahun bagi rakyatnya.

Secara mudah, pengeluaran beras negara perlu seiring dengan pertambahan populasi. Jika tidak, Malaysia akan terus bergantung kepada beras luar negara sekiranya tiada inisiatif untuk menambah pengeluaran beras dalam negara.

Kerajaan dicadangkan mengkaji strategi baharu dalam mengukuhkan pengeluaran beras negara seperti memperluaskan penanaman padi ke beberapa kawasan baharu yang berpotensi sebagai contoh di Sabah, Sarawak dan beberapa kawasan di Perak.

Kesimpulannya, industri beras adalah sangat penting yang seharusnya dititikberatkan oleh kerajaan. Beras adalah makanan ruji rakyat Malaysia. Apa gunanya kalau kita berbangga ada kereta nasional dan industri elektronik tetapi rakyat kekurangan barangan keperluan asas mereka. – UTUSAN

ARIF MUSTAQIM MD. SALLEH
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya