SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, masyarakat dunia menyaksikan suatu kebangkitan terbesar dalam sejarah kemanusiaan apabila pejuang Palestin melancarkan Operasi Taufan Al-Aqsa sebagai tindak balas kepada penindasan dan kezaliman melampau puak Zionis-Israel.
Kebangkitan Palestin melalui operasi ini mampu menjadi titik tolak kepada perubahan menyeluruh umat Islam dalam membela nasib umat Islam yang tertindas di seluruh dunia, khususnya di Palestin.
Terdapat banyak langkah yang boleh dilakukan bagi menekan Zionis-Israel termasuk pertama, kempen pemboikotan produk keluaran Israel dan sekutunya perlu digerakkan semula secara besar-besaran.
Memang diakui, kempen sebegini dilihat lebih bersifat bermusim, namun sekiranya ia digerakkan secara berstrategi dan menyeluruh, pasti akan memberi kesan lebih hebat.
Kempen boikot ini perlu konsisten dilaksanakan empat kali setahun atau setiap tiga bulan dengan memfokuskan kepada produk tertentu seperti teknologi maklumat dan komunikasi.
Dengan strategi pemboikotan bersasar, ia mampu melumpuhkan ekonomi konglomerat Israel sekali gus menghapuskan penguasaan ekonomi mereka.
Kedua, kempen media sosial amat penting dan sangat berkesan. Dengan kekuatan solidariti umat Islam berjumlah 1.9 bilion, ia mampu menggegar dunia serta mendedahkan kezaliman Israel kepada penduduk Palestin.
Pihak Zionis-Israel sentiasa memadamkan maklumat dan berita berkaitan Palestin daripada rangkaian media sosial yang dikuasai mereka. Oleh itu, strategi dan kreativiti umat Islam seluruh dunia amat diperlukan bagi menembusi kepungan maklumat mereka.
Maklumat berkaitan Palestin boleh dikongsi secara “reverse psychology” iaitu dengan memulakan perkongsian maklumat berkaitan pelancongan di Israel, kemudian diikuti dengan realiti penindasan yang berlaku di Palestin serta sejarah asal kewujudannya.
Ketiga, penyaluran dana kewangan adalah keperluan mendesak bagi para pejuang Palestin dalam usaha perjuangan ini. Umat Islam wajib menyalurkan bantuan semampu mungkin kepada badan-badan yang menguruskan sumbangan terus kepada pihak pejuang di sana.-UTUSAN
PROF. MADYA DR. MOHD. ASHROF ZAKI YAAKOB
Universiti Teknologi Mara (UiTM),
Shah Alam, Selangor