SAUDARA PENGARANG,
SEBELUM ini ada cadangan untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah–sekolah yang berisiko tinggi berlakunya masalah atau kejadian buli. Namun, itu tidak memadai sekiranya tiada peruntukan undang-undang yang lebih berkesan serta sesuai dengan keadaan semasa pada masa kini.
Isu buli boleh memberi kesan negatif pada mangsa sekiranya tiada langkah awal diambil bagi mengatasinya. Kejadian buli boleh menjejaskan reputasi sekolah yang terlibat dan institusi pendidikan negara. Sama ada suka ataupun tidak, kita harus mengambil segala langkah bagi mengatasi masalah ini.
Sudah sampai masanya kerajaan memikirkan untuk meminda Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) sedia ada ataupun mewujudkan satu akta khusus untuk mengawal serta mengekang kejadian buli di sekolah seperti diamalkan di negara–negara maju termasuk United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Melalui cadangan akta khusus terbabit, setiap kes buli dapat disiasat dengan lebih terperinci serta dilakukan bersesuaian dengan prosedur–prosedur melibatkan pelajar sekolah.
Melalui akta khas tersebut juga dapat mewajibkan setiap sekolah mempamerkan polisi khusus mengenai buli. Melalui pengenalan polisi terbabit juga dapat memberi kesedaran kepada semua pihak terutama pembuli untuk menjauhkan diri daripada terlibat dalam kes ini. Ia juga dapat memberi maklumat kepada mangsa mengenai hak mereka serta maklumat lengkap bagi melaporkan kejadian.
Akta khas berkenaan juga akan memperuntukkan pihak pengurusan sekolah untuk mewujudkan sebuah jawatan khas setaraf kaunselor bagi mengendalikan kes buli di sekolah masing-masing.
Jawatan terbabit perlulah diisi oleh mereka yang berkelayakan dalam bidang psikologi serta mahir mengendalikan kes–kes buli dalam kalangan pelajar.
Tidak dapat dinafikan, isu ini tidak boleh dipandang sebelah mata sahaja. Ia memerlukan komitmen daripada semua pihak baik guru, ibu bapa, masyarakat umum atau pelajar itu sendiri bagi memastikan institusi sekolah menjadi gedung ilmu dan bukannya tempat untuk melahirkan samseng atau penjenayah.
Perbuatan membuli sama ada untuk berseronok, membenci atau ingin membalas dendam tidak sewajarnya menjadi budaya yang menunjangi institusi pendidikan negara kita.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)