Perlu ada susulan program Temu Anwar

Perlu ada susulan program Temu Anwar

PROGRAM Temu Anwar adalah satu platform perjumpaan Anwar Ibrahim bersama anak muda di universiti. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PROGRAM Temu Anwar iaitu satu platform perjumpaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama anak muda di beberapa universiti telah banyak kali diadakan.

Program itu mendapat maklum balas cukup positif dari semua pihak khususnya pelajar universiti kerana Anwar menggunakan ruang terbabit untuk berkongsi hala tuju pembangunan negara dengan golongan mahasiswa.

Beliau juga mendengar pandangan, cadangan serta idea baharu daripada mahasiswa serta terus menjawab pelbagai persoalan yang dikemukakan mereka. Jelas, ini satu penghargaan cukup tinggi kepada golongan mahasiswa yang datangnya daripada pemimpin nombor satu negara.

Zaman kerajaan tahu semua perkara sudah berakhir, lantas mahasiswa wajar dijadikan rakan strategik penting yang bukan saja boleh memberikan pelbagai idea, pandangan dan sumbangan untuk membangunkan negara malah boleh berperanan sebagai mata dan telinga yang menyampaikan permasalahan dihadapi rakyat kepada kerajaan.

Melalui pendekatan seperti ini kerajaan dapat merangka pelbagai dasar dan inisiatif baharu untuk membantu semua lapisan masyarakat yang memerlukan bantuan.

Dalam pada itu, kita menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang sedang memberikan perhatian serius kepada agenda pemerkasaan mahasiswa melalui pelbagai sesi libat urus serta pemberian tanggungjawab.

Misalnya, KPT baru-baru ini mengarahkan agar pihak pengurusan universiti melibatkan Majlis Perwakilan Pelajar/Kesatuan Mahasiswa (MPP/KM) masing-masing dalam proses merangka dan membangunkan Garis Panduan Aktiviti Hiburan (Konsert) di institusi pengajian tinggi (IPT).

Ketetapan ini membolehkan suara dan keperluan mahasiswa didengar dan diambil perhatian dengan jelas sekali gus menzahirkan kesungguhan dan komitmen KPT dalam memberi lebih banyak tanggungjawab dan ruang membuat keputusan kepada pelajar.

Maka diharap semua kementerian dan agensi kerajaan lain mencontohi Perdana Menteri dan KPT. Jangan tinggalkan mahasiswa dalam proses perancangan sebarang dasar atau program yang sedang dibangun dan bakal dilaksanakan.

Untuk itu disarankan semua kementerian dan agensi kerajaan menubuhkan sebuah unit khas yang boleh fokus kepada sesi libat urus bersama mahasiswa untuk mendapatkan input dan maklum balas tentang sesuatu perancangan serta agenda pembaharuan yang hendak diperkenalkan.

Sesi libat urus ini boleh dijadikan agenda tetap melalui perjumpaan secara berjadual dan berkala untuk dijadikan sesi perkongsian pandangan tentang pelbagai isu semasa membabitkan kehidupan seharian masyarakat dan proses pembangunan negara dari perspektif dan kaca mata golongan muda.

Selain itu, perlu dibuka sebanyak mungkin ruang dan peluang untuk mahasiswa turut sama terlibat dalam pelaksanaan sesuatu program atau inisiatif terutamanya untuk masyarakat.

Percayalah mahasiswa memiliki pengalaman dan kemahiran insaniah seperti kerjasama berpasukan, pemikiran kritis, kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran komunikasi dan kemahiran kepimpinan yang mencukupi untuk memainkan pelbagai peranan bagi menjayakan sesuatu program yang hendak dilaksanakan agensi kerajaan.

Selain itu, mahasiswa wajar digunakan sebagai kelompok penting untuk mendekati masyarakat terutamanya melalui pelantikan sebagai duta termasuk sebagai duta Malaysia Madani bagi menerangkan konsep baharu ini kepada semua lapisan masyarakat supaya dapat memahami dan menerimanya dengan jelas.

Selain itu, mahasiswa boleh dilantik sebagai duta perpaduan untuk memupuk dan membugarkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat yang kini dilihat sangat rapuh dan membimbangkan.-UTUSAN

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya