Perkasa wakaf hijau demi agenda ketahanan iklim negara - Utusan Malaysia

Perkasa wakaf hijau demi agenda ketahanan iklim negara

PERUBAHAN iklim menjejaskan pertumbuhan produktiviti buruh. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini memuji sistem kewangan Islam sebagai peneraju kewangan global dengan menyorot kejayaan peratusan pasaran perbankan Islam daripada jumlah pembiayaan sebanyak 44.5% (RM974.1 bilion) dan peranan pasaran modal Islam sebagai komponen utama daripada saiz pasaran modal Malaysia (64.3%).

Pun begitu begitu, Anwar menyinggung para pemain industri kewangan Islam untuk berhijrah kepada inisiatif yang lebih mampan dan berkesan.

Justeru, para pemegang taruh dan pemain industri kewangan Islam disaran untuk menggiatkan usaha menjayakan agenda ketahanan iklim dengan menyelaraskan prinsip kewangan Islam dengan pelaburan yang mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Bukan itu sahaja, sinergi di antara kewangan Islam dan inisiatif ketahanan iklim negara juga selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara Fasa 1 yang dilancarkan pada hujung Julai lalu. Salah satu instrumen berpotensi untuk menjayakan agenda ketahanan iklim negara ialah wakaf hijau.

Ketika ini, sudah wujud wakaf hijau seperti wakaf hutan, air dan tenaga suria. Bahkan mewakafkan sumber alam untuk manfaat bersama bukanlah perkara baharu dalam tradisi Islam. Sejak zaman Rasulullah SAW, baginda mewakafkan tanah untuk pembinaan masjid dan tujuh kebun kurma di Madinah.

Dalam konteks dunia moden, wakaf hijau turut diamalkan banyak negara dengan Turkiye misalnya mewujudkan wakaf hutan, Evkaf Forest meliputi kawasan lebih 107,000 hektar atau menyamai keseluruhan 11 jajahan di dalam negeri Kelantan.

Contoh kontemporari bagi wakaf hijau di negara ini ialah wakaf air yang diwujudkan dan dikelolakan secara kerjasama pintar oleh Yayasan Waqaf Malaysia dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Umum mengetahui betapa Malaysia semakin terdedah kepada pelbagai cabaran berkaitan iklim seperti banjir, kejadian cuaca ekstrem dan kenaikan paras air laut yang menatijahkan gangguan ekonomi dan sosial yang ketara.

Dengan memperkasakan wakaf hijau, kerajaan atau organisasi tempatan boleh mengumpul dana untuk membina sistem pengurusan air, menaik taraf rangkaian saliran dan membina bangunan tahan banjir di kawasan yang terdedah dengan bencana berkaitan iklim.

Projek-projek terbabit akan meningkatkan keupayaan rantau ini untuk bertahan dan pulih daripada kejadian banjir, meningkatkan daya tahan iklim negara dan sekali gus memaknakan Islam sebagai rahmat sekalian alam. – UTUSAN

DR. MOHD. ZAIDI MD. ZABRI
Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya yang juga Setiausaha Majlis Pendidik
Kewangan Islam Antarabangsa (ICIFE)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya