SAUDARA PENGARANG,
TINDAKAN seorang pemimpin DAP yang mempolemikkan isu memetik ayat al-Quran dalam konteks politik sehingga mencetuskan perdebatan hangat ketika keadaan sentimen Melayu Islam masih kuat ditiupkan oleh pembangkang sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai adalah sesuatu yang tidak wajar.
Sejujurnya tindakan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How yang memuat naik video lama kemudian ditularkan mungkin kurang kena pada masanya.
Walaupun pada zahirnya tindakan Howard tidak salah pada mata kasar tetapi ia boleh disalah erti dan mendorong pihak-pihak konservatif untuk memutar-belit isu ini.
Lagipun atas alasan apakah untuk Howard merespons kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang?
Dan apakah autoriti beliau sehingga boleh memetik dan menghurai ayat al-Quran selain agak keterlaluan mengaitkan dengan kelompok Khawarij? Adakah dia sendiri memahami apa itu Khawarij?
Sepatutnya biarlah wakil pemimpin Melayu DAP yang merespons kenyataan Abdul Hadi. DAP mempunyai ramai pemimpin Melayu. Jadi, untuk apakah Howard turut campur tangan dalam perkara ini?
Tidak dinafikan sentimen Melayu Islam masih menebal yang mendorong orang Melayu terutama pengundi UMNO/Barisan Nasional (BN) dikatakan mudah terpengaruh dengan persepsi yang ditimbulkan pemimpin Perikatan Nasional (PN).
Di sisi lain, implikasinya mungkin terpalit ke atas UMNO yang terkena tempiasnya di saat kondisi penolakan terhadap parti itu kian memuncak terhadap kerjasama UMNO dan DAP.
Buktinya adalah melalui dapatan semasa pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK) lalu yang menunjukkan ahli UMNO masih tegar tidak memilih atau mahu mengundi calon daripada Pakatan Harapan (PH) termasuk calon UMNO sendiri.
Jadi, sebaik-baiknya pemimpin DAP usah cuba menjolok sarang tebuan sekalipun mempunyai niat atau tujuan yang baik untuk mengingatkan pihak lain terutama pemimpin Melayu pembangkang agar bercakap serupa bikin.
Sepatutnya pemimpin Melayu DAP tampil ke hadapan, bukannya orang seperti Howard untuk bercakap dan menyentuh hal urusan orang Melayu dan agama Islam.-UTUSAN
CUCU TOK JANGGUT
Pulau Pinang