SAUDARA PENGARANG,
DI sebalik isu elaun dan kebajikan pelajar yang menjalani latihan industri (LI) yang hangat diperkatakan beberapa bulan lepas, ia adalah satu elemen kritikal dalam komponen pengajian tertiari.
Boleh dikatakan hampir semua kursus yang ditawarkan di negara kita, tidak kira di peringkat sijil kemahiran, diploma mahupun sarjana muda, mempunyai modul LI.
Bergantung kepada kursus dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang diikuti, modul LI selalunya ditawarkan pada tahun akhir pengajian. Ini bagi memudahkan transisi pelajar ke dunia pekerjaan yang bakal mereka tempuhi selepas tamat pengajian.
Ada IPT yang menetapkan tempoh tiga bulan untuk tujuan ini, ada juga enam bulan, bahkan ada juga IPT menetapkan tempoh LI lebih daripada enam bulan.
Tujuan utama LI dijadikan komponen penting pengajian adalah bagi merapatkan jurang teori yang selama ini dipelajari oleh pelajar dengan kerja amali yang dipraktikkan di dalam arena pekerjaan.
Pengetahuan teori sahaja tidak mencukupi bagi menerapkan kemahiran dan pengalaman yang diperlukan oleh pelajar ketika bekerja.
Selain itu, tempoh LI yang dijalani memberi peluang mencukupi bagi pelajar untuk memperkasakan kemahiran insaniah mereka.
Ini termasuk kemahiran dalam penampilan diri, keyakinan diri, konsep diri, kerja berpasukan, kefasihan berbahasa serta kemahiran berkomunikasi.
Melalui jaringan profesional yang dibina ketika LI, pelajar berupaya memperoleh akses terhadap peluang yang mungkin tidak tersedia secara umum.
Jaringan ini juga dapat memberikan peluang bagi memperoleh maklumat tentang kekosongan pekerjaan sedang tersedia, di samping mengetahui maklumat dalaman akan proses pengambilan pekerja dan perkembangan industri.
Walaupun dibelenggu dengan pelbagai isu yang sering disogokkan ke minda mereka, pelajar harus melihat lebih jauh akan manfaat bakal diperoleh ketika menjalani LI.-UTUSAN
MUHAMMAD HAFIZI ZAMRI dan DR. MOHD HAFIZ ZULFAKAR
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Kampus Puncak Alam