SAUDARA PENGARANG,
PELAJAR di institusi pengajian tinggi (IPT) perlu memahami nilai wang, mengurus kewangan dan membuat perancangan dengan sedikit dana yang ada untuk masa hadapan. Apabila pelajar celik dan terancang kewangannya, mereka tidak akan gusar dan lebih cemerlang dalam pengajian.
Berdasarkan tinjauan laman web, RinggitPlus pada 2022, 70% rakyat Malaysia menyimpan kurang daripada RM500 sebulan. Bermakna, tujuh daripada 10 rakyat mempunyai simpanan RM500 atau kurang.
Dua faktor utama yang menghalang pelajar di IPT daripada menyimpan wang ialah literasi kewangan yang rendah dan kekurangan persediaan untuk merancang kewangan. Kajian mengenai Pasaran Modal Belia 2022 oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mendedahkan majoriti belia mempunyai literasi kewangan yang lemah.
Justeru, apabila pelajar IPT tidak mempunyai wang mencukupi untuk menampung yuran pengajian sepanjang kursus pengajian, sukar bagi mereka untuk memberi tumpuan kepada pembelajaran.
Lebih membimbangkan jika pelajar menghadapi kecemasan seperti kemalangan, kematian ahli keluarga, kerosakan komputer atau keperluan untuk kediaman sementara yang bakal menjejaskan prestasi akademik mereka.
Terdapat dua langkah utama yang boleh dilakukan kerajaan untuk mewujudkan pelajar lebih celik kewangan. Pertama, kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan boleh membangunkan satu program pendidikan literasi kewangan negara yang disepadukan untuk pendidikan rendah, menengah dan IPT.
Sebelum ini, Malaysia melancarkan Strategi Kebangsaan Literasi Kewangan 2019–2023. Bagaimanapun, tidak semua pelan strategik tersebut dilaksanakan dengan sebaiknya. Sehingga kini, terlalu sedikit usaha untuk menggalakkan literasi kewangan di peringkat awal kanak-kanak, sekolah rendah dan sekolah menengah.
Kedua, melalui pembinaan indeks untuk literasi kewangan pelajar dan kesediaan merancang kewangan sebelum mendaftar di universiti yang disasarkan. Melalui inisiatif ini, IPT akan dapat meramalkan keadaan dan literasi kewangan setiap pelajar berdasarkan indeks.
Ini akan membolehkan IPT menawarkan bantuan kewangan atau memaklumkan pelajar berkenaan literasi kewangan, perancangan kewangan, pinjaman dan sokongan. Ia dilakukan dengan soal selidik mengenai literasi kewangan dan kesediaan perancangan kewangan.
Kebiasaannya, pelajar akan merujuk kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar untuk memohon bantuan atau melaporkan keadaan kewangan. Sehingga hari ini, Malaysia tidak mempunyai indeks atau pengukuran standard yang boleh digunakan untuk mengenal pasti status dan kestabilan kewangan pelajar. – UTUSAN
DR. ADILAH A. WAHAB
Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya