Pastikan harga anak pokok kelapa sawit munasabah - Utusan Malaysia

Pastikan harga anak pokok kelapa sawit munasabah

MINYAK kelapa sawit penuh dengan khasiat namun sering dikatakan membawa kemudaratan kepada kesihatan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, terdapat laporan pesawah tertekan setelah pengilang didakwa membeli padi dengan harga murah dan pada masa sama benih pula naik sehingga 20 peratus daripada RM35 kepada RM55 setiap 20 kilogram.

Sebenarnya isu benih melambung tinggi turut dihadapi pekebun kelapa sawit apabila meningkatnya permintaan pada minyak sawit dan produk hiliran berasaskan sawit.

Terdapat unjuran bahawa harga purata tahunan minyak sawit sepanjang 2023 adalah pada RM3,800 satu tan.

Oleh kerana itu, berlaku kes harga anak benih kelapa sawit melambung tinggi dan sukar dikawal oleh kementerian bertanggungjawab sehingga membebankan pekebun kecil.

Saya difahamkan ada syarikat tapak semaian menjual sebatang anak pokok lebih RM30, padahal harga sebelum ini sekitar RM17 hingga RM20 sahaja.

Selain itu, syarikat pembungkusan semula minyak masak turut menerima implikasi kenaikan harga minyak sawit yang dibeli daripada kilang penapis.

Dahulu sebotol minyak masak tiada subsidi oleh kerajaan dianggarkan berharga bawah RM30 bagi botol lima kilogram. Tidak mustahil suatu masa nanti harganya boleh meningkat berkali ganda.

Terdapat juga rungutan daripada kilang penapis minyak sawit mengenai harga minyak kelapa sawit mentah yang tinggi.

Kenaikan itu juga sudah tentu akan melibatkan minyak masak yang boleh dikategorikan sebagai bahan terpenting dalam kehidupan penduduk dunia sekarang.

Ia juga akan membabitkan barangan dibuat daripada lemak kelapa sawit yang boleh didapati di dapur dan bilik mandi kita. Situasi industri sawit pada masa akan datang pasti seperti kisah dalam lagu rakyat, Bangau Oh Bangau.

Semua rantaian bekalan kelapa sawit daripada anak pokok sehingga minyak masak yang telah ditapis akan terlibat dengan kenaikan dan kesannya hanya Tuhan yang tahu. – UTUSAN

MAT MUTIARA NUSANTARA 201, Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN