Nilai saham boleh naik 100% setahun - Utusan Malaysia

Nilai saham boleh naik 100% setahun

MELABUR di pasaran saham adalah diharuskan oleh Islam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MEMBACA berita dalam akhbar dan media massa lain mengenai orang ramai yang terjebak dengan penipuan skim pelaburan berasaskan pembelian saham mungkin menyebabkan banyak pihak yang takut untuk terlibat dengan pasaran saham.

Kenapa perlu takut jika pelaburan melibatkan jumlah yang sedikit, tidak menggunakan duit perbelanjaan harian dan pelaburannya dibuat berpandukan ilmu dan kefahaman yang betul?

Sudah lama masyarakat Malaysia dimomokkan bahawa melabur di dalam pasaran saham sangat berbahaya dan perlu dijauhi kerana bakal menyebabkan seseorang itu muflis.

Sesungguhnya kefahaman kolot ini sangat merugikan kerana masyarakat akan menjauhi pasaran saham dan lebih selesa menyimpan duit di dalam bank atau unit amanah dan instrumen simpanan lain yang kebiasaannya memberi pulangan sedikit di bawah kadar inflasi.

Ini akan menyebabkan nilai wang dari semasa ke semasa menjadi kecil kerana inflasi dan mereka akan terlepas peluang menjana pendapatan lebih tinggi.

Seterusnya, simpanan itu akan digunakan oleh institusi untuk dilaburkan di dalam pasaran saham di dalam dan luar negara dengan pulangan yang berlipat kali ganda.

Ketakutan yang dibina berdasarkan persepsi lapuk terhadap pasaran saham sangat merugikan masyarakat. Melabur di pasaran saham adalah diharuskan di dalam Islam kerana ia adalah sebahagian dari bidang muamalah yang dibenarkan.

Terdapat sebanyak 751 dari 953 syarikat yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia adalah patuh syariah. Ini bermaksud hampir 80 peratus syarikat yang disenaraikan dibolehkan untuk orang Islam melabur sebagai salah seorang pemilik saham syarikat tersebut.

Syarikat-syarikat berdaya maju dalam pelbagai bidang seperti pembinaan, teknologi, pengeluaran, peruncitan, perubatan, logistik dan sektor-sektor lain yang patuh syariah adalah terbuka untuk semua melabur di dalamnya.

Dengan kemajuan teknologi dan perkembangan pasaran saham Malaysia, kerajaan telah memudahkan dan menggalakkan masyarakat supaya celik tentang pengurusan kewangan.

Pengurusan kewangan bukan sahaja mengenai menyimpan duit secara bulanan, malah perlu juga kefahaman tentang kaedah penjanaan pendapatan dengan lebih baik.

Pelaburan yang dilakukan adalah selamat dan dikawal oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Negara Malaysia melalui Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 serta perundangan lain yang terlibat.

Tahukah anda bahawa nilai saham sesuatu syarikat di Bursa Malaysia yang mempunyai potensi tinggi mampu meningkat sehingga 100 peratus dalam masa setahun? Malah adalah perkara biasa di pasaran saham untuk melihat saham syarikat meningkat melebihi 10 peratus sebulan.

Statistik terkini menunjukkan bahawa terdapat hanya tujuh peratus pelabur runcit dalam kalangan pelabur di bawah umur 45 tahun di Malaysia.

Pasaran saham adalah satu alternatif dan peluang pelaburan yang terbuka luas untuk masyarakat di setiap peringkat umur bagi meningkatkan pendapatan.

Dapatkan kefahaman dari sumber yang betul dan lakukan pelaburan secara bijak menggunakan pengurusan risiko yang terkawal bagi memaksimumkan pulangan dari bidang pelaburan saham. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. ABDUL JALIL OMAR
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya