Menjadi warganegara yang baik juga pembangunan dalam Islam sebenar

Menjadi warganegara yang baik juga pembangunan dalam Islam sebenar

USAHA kerajaan memperkenalkan dasar Malaysia Madani dilihat mampu menyumbang kepada pembangunan seimbang yang menyediakan makna bahagia seperti Indeks Kebahagiaan Dunia. – UTUSAN /ASWAD YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KETIKA kita masih berbalah tentang maksud pembangunan, masyarakat Barat telah membentuk piawaian ukuran dinamakan Indeks Kebahagiaan Dunia pada 2012.

Inspirasi ini diambil dari Bhutan yang mempunyai indeksnya tersendiri seawal 1972.

Matlamat mencapai bahagia dalam setiap gerak laku hidup termasuklah pembangunan sebenarnya telah diajar oleh Islam. Bahagia yang dimaksudkan dalam Islam merujuk keyakinan diri individu tentang kehidupan ini membabitkan tanggungjawab selaku khalifah di bumi serta akhirat.

Namun, bagaimana ia dapat diaplikasi dalam kehidupan bernegara? Usaha kerajaan memperkenalkan dasar Malaysia Madani dilihat mampu menyumbang kepada pembangunan seimbang yang menyediakan makna bahagia seperti dinyatakan di atas.

Enam nilai terasnya iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan setidak-tidaknya menonjolkan tumpuan kerajaan kepada pembangunan berteraskan keseimbangan rohani serta jasmani dan tidak lagi hanya memfokuskan kepada pembangunan bersifat kebendaan semata-mata.

Cabaran kepada kerajaan adalah untuk merealisasikan apa yang dirancang. Namun, setiap lapisan masyarakat juga perlu menyedari bahawa matlamat baik ini tidak mampu dicapai tanpa sokongan mereka. Ini hanya boleh direalisasi apabila pemimpin di setiap peringkat melaksanakan amanah dan cekap menangani masalah besar rakyat; pendidik dan sistem pendidikan yang bermatlamat melahirkan insan berilmu, berakhlak dan juga berkepakaran tinggi; ahli ekonomi yang melihat harta sebagai alat untuk mencapai matlamat baik serta ibu bapa yang bertanggungjawab mendidik anak-anak dengan bekal agama tanpa menafikan keperluan dunia.

Oleh itu, pembangunan dalam Islam tidak cukup sekadar dengan slogan ‘Islam’ yang digunakan tetapi bagaimana ia menyediakan diri individu sebagai hamba Allah yang taat dan juga warganegara baik.

Justeru, penyediaan pendidikan yang saksama, seimbang dan menyeluruh, penyuburan budaya ilmu, pengagihan kekayaan yang adil, fasiliti awam yang lengkap dan berkesan, keperluan air dan tenaga elektrik mencukupi dan lain-lain merupakan tanggungjawab kerajaan yang wajib dilaksanakan. Dalam masa sama, tugas individu adalah untuk membangunkan diri sendiri dalam aspek keilmuan dan kehidupan beragama.

Inilah yang disebut sebagai pengislahan, iaitu melahirkan insan yang baik dalam semua segi kehidupan.-UTUSAN

DR. MOHD KHAIRUL NAIM CHE NORDIN
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya