SAUDARA PENGARANG,
PADA 2022, kerajaan membelanjakan RM30.26 bilion bagi pembayaran pencen berserta faedah kepada 902,999 pesara.
Dengan pelbagai inisiatif dan pemberian khas yang diberikan oleh kerajaan termasuk insentif pesara sebanyak RM1,000 dalam Belanjawan 2024, sewajarnya pesara mempunyai pengetahuan kewangan mantap termasuk dalam soal membuat pelaburan bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan selesa.
Pelaburan di usia senja mungkin tidak dapat memberi pulangan yang banyak. Namun, sekiranya terdapat lebihan simpanan hasil ganjaran persaraan yang tidak ingin digunakan dalam masa terdekat, wang tersebut boleh dilaburkan di mana-mana institusi pelaburan sah.
Ini bagi membolehkan pulangan yang kompetitif dan hasil pelaburan tersebut digunakan untuk kepuasan diri seperti melancong atau berhibur atau disimpan sahaja sehingga terdapat keperluan mendesak untuk digunakan.
Dalam pada itu, kepada bakal pesara, mereka perlu menguruskan hutang dengan baik. Apabila menghampiri umur persaraan, hutang atau pinjaman sepatutnya sudah berkurangan untuk kehidupan lebih tenang menjelang persaraan.
Berhutang tidak salah sekiranya ia hutang yang baik dan boleh diuruskan dengan baik. Hutang yang baik bermaksud hutang untuk mendapatkan barangan yang nilainya meningkat seperti pinjaman perumahan, hartanah, pendidikan dan perniagaan.
Hutang-hutang yang tidak baik malah boleh merugikan peminjam seperti kad kredit serta pinjaman peribadi untuk membeli-belah, melancong dan pembelian barangan susut nilai berkadar tempoh.
Hutang yang tidak diuruskan dengan baik boleh menyebabkan masalah keberhutangan yang serius termasuk muflis. Dari 2019 sehingga April 2023, terdapat 34,043 individu telah diisytiharkan muflis. – UTUSAN
AHMAD ZAFWAN SULAIMAN, Institut Tadbiran Awam Negara (Intan)