Mari kita tunjukkan jalan perbankan Islam di Russia - Utusan Malaysia

Mari kita tunjukkan jalan perbankan Islam di Russia

PADA Julai lalu, Parlimen Russia meluluskan program perintis perbankan Islam di empat republik bermula 1 September lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PARLIMEN Russia telah memberi lampu hijau kepada program perintis perbankan Islam selama dua tahun di empat republik di negara itu iaitu Bashkortostan, Chechnya, Dagestan, dan Tatarstan bermula 1 September lalu.

Menariknya, keempat-empat republik yang majoritinya menganut agama Islam tersebut mempunyai populasi sekitar 20 juta orang atau hampir dua pertiga daripada keseluruhan rakyat Malaysia.

Malaysia pula sememangnya dikenali sebagai antara peneraju utama industri kewangan Islam global terutama sekali dalam pasaran modal Islam melalui terbitan sukuk (bon Islamik) yang merupakan antara yang terbesar dunia.

Malaysia juga mengungguli Petunjuk Pembangunan Kewangan Islam (IFDI) 2022 yang mengukur dimensi seperti prestasi kewangan, tata kelola, kelestarian, pengetahuan dan kesedaran mengenai kewangan Islam.

Justeru, pengenalan sistem kewangan Islam di Russia adalah peluang yang semestinya tidak boleh dilepaskan oleh pemain industri kewangan Islam Malaysia dengan menuai faedah sebagai penggerak pertama melalui tiga langkah berikut.

Pertama, memanfaatkan kepakaran dan kelebihan Malaysia terutamanya dalam kesiapsiagaan modal insan dengan memperhebat perjanjian dan kerjasama dua hala.

Langkah ini bakal menggalakkan pertukaran pengetahuan dan inisiatif bersama dalam kewangan Islam melalui penganjuran seminar, bengkel dan persidangan untuk mendidik pemain industri, pengawal selia dan ahli akademik kewangan Russia mengenai prinsip dan faedah kewangan Islam.

Kedua, melalui kerjasama dengan institusi kewangan Russia untuk mewujudkan tetingkap perbankan Islam dan memperkenalkan produk kewangan patuh syariah.

Ketiga, melalui perkongsian amalan terbaik berkaitan rangka kerja kawal selia kewangan Islam Malaysia dari Bank Negara Malaysia (pengawal selia industri perbankan Islam) dan Suruhanjaya Sekuriti (pengawal selia pasaran modal Islam) dengan Bank Pusat Russia.

Kerjasama ini boleh dizahirkan melalui perkongsian rangka kerja dan garis panduan kawal selia dan mekanisme atau tatacara untuk menyelia institusi dan urus niaga kewangan Islam sekali gus membuka jalan bagi kelancaran pelaksanaan dan pengawasan aktiviti kewangan Islam di Russia.

Untuk rekod, ketiga-tiga langkah di atas merupakan langkah jangka masa pendek yang boleh diatur gerak dengan kadar segera oleh pemain industri kewangan Malaysia.

Ini kerana para pemain industri kewangan Islam Malaysia sememangnya berpengalaman dalam usaha memperkenal dan mempelopori sistem perbankan Islam di beberapa negara Afrika dan Asia Tengah.

Melalui langkah-langkah di atas, Malaysia boleh membantu Russia untuk membangunkan sektor kewangan Islamnya, yang akhirnya akan membawa kepada peningkatan pelaburan rentas sempadan dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara pada masa depan. – UTUSAN

DR. MOHD. ZAIDI MD. ZABRI
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya