SAUDARA PENGARANG,
BELANJAWAN 2024 memperuntukkan RM393.8 bilion, peningkatan ketara berbanding tahun lalu dengan peruntukan RM372.3 bilion dan pada 2022 berjumlah RM322 bilion.
Daripada jumlah itu, RM303.8 bilion belanja mengurus dan RM90 bilion untuk pembangunan, sementara RM2 bilion bagi simpanan luar jangka. Perbelanjaan ini membabitkan penambahan siling Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) sebanyak RM15 bilion lagi, menjadikan jumlah keseluruhan RM415 bilion untuk tempoh lima tahun.
Penambahan ini menunjukkan kerajaan mengamalkan pendekatan fiskal yang mengembang dan pada masa sama bertanggungjawab mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat.
Peruntukan diberikan kepada setiap kementerian ini pula bakal disalurkan kepada jabatan dan agensi. Sebanyak mana pun jumlah peruntukan bakal diberikan, mereka harus merancang dan berbelanja dengan bijak dan berhati–hati kerana ia melibatkan wang rakyat.
Sebarang program dan aktiviti yang tidak 1membawa faedah pada rakyat dan negara harus dielakkan.
Setiap jabatan dan agensi kerajaan harus tahu keadaan ekonomi semasa dunia tidak stabil akibat ketidaktentuan ekonomi.
Amerika Syarikat dan China yang merupakan kuasa besar ekonomi dunia juga berdepan masalah ini. Ini ditambah konflik peperangan Russia-Ukraine serta Palestin-Israel.
Salah satu cara bagi mengelakkan pembaziran ialah menggunakan sepenuhnya kemudahan teknologi untuk melakukan sesetengah urusan. Mereka perlu mencontohi langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggunakan kemudahan teknologi ketika mengadakan pertemuan melalui persidangan video bersama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)