Lihat pameran peralatan komunikasi radio amatur - Utusan Malaysia

Lihat pameran peralatan komunikasi radio amatur

PETUGAS di Stesen Komunikasi Kecemasan dan Bencana, Persatuan Pemancar Radio Amatur Malaysia (MARTS) di Seri Kembangan, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERSATUAN Pemancar Radio Amatur Malaysia (MARTS) menganjurkan Minggu Angkasa Sedunia (WSW) 2023 bermula semalam hingga 10 Oktober ini sebagai menyokong program tahunan Agensi Angkasa Negara (MYSA).

Bertemakan Keusahawanan Angkasa, WSW ialah sambutan peringkat antarabangsa bagi meraikan ilmu sains, teknologi, aplikasi angkasa dan menghargai sumbangan individu yang meningkatkan kesejahteraan hidup manusia menerusi teknologi angkasa.

Pelbagai peralatan komunikasi radio amatur dipamerkan dan diharap dapat meningkatkan minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Antara yang dipamerkan oleh MARTS ialah peralatan radio komunikasi frekuensi tinggi (HF), frekuensi sangat tinggi (VHF) dan frekuensi ultra tinggi (UHF) yang boleh digunakan untuk perhubungan suara di dalam dan luar negara.

Peralatan lain ialah radas komunikasi satelit, belon kaji cuaca, radas kod Morse serta radas Sistem Pelaporan Paket Automatik (APRS).

Malah, aktiviti penghantaran dan penerimaan televisyen imbasan perlahan (SSTV) seperti yang digunakan oleh angkasawan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) akan ditunjukkan kepada pengunjung WSW pada 7 Oktober, pukul 10 pagi hingga 3 petang di Planetrium Negara.

SSTV ialah kaedah menghantar imej dan data menggunakan radio amatur kepada peranti penerima walaupun tidak mempunyai sambungan internet. Kaedah ini sangat mustahak di dalam situasi kecemasan atau bencana di mana perkhidmatan telefon dan internet tergendala atau di luar kawasan liputan.

Radio amatur bukan hanya sekadar untuk berkomunikasi (seperti telefon) tetapi mempunyai fungsi lain seperti penjejakan kedudukan koordinat, komunikasi satelit, menghantar imej dan data, komunikasi kod Morse serta lain-lain.

Dalam banyak keadaan, komunikasi konvensional seperti telefon akan terganggu pada waktu kecemasan atau ketiadaan bekalan elektrik tetapi radio amatur boleh dioperasikan secara sendiri tanpa bergantung kepada prasarana telekomunikasi selain menggunakan bateri atau tenaga suria.

Pada 1999, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan, sambutan WSW diadakan setiap tahun dari 4 hingga 10 Oktober sebagai memperingati dua peristiwa penting dalam penerokaan angkasa lepas iaitu pelancaran satelit Sputnik 1 pada 4 Oktober 1957.

Pelancaran satelit ini juga membuka jalan pada penerokaan angkasa lepas dan 10 Oktober 1967 mengenai kejayaan menandatangani perjanjian mengenai prinsip-prinsip yang mentadbir aktiviti negara-negara dalam penerokaan dan penggunaan aman angkasa lepas.

MYSA mengalu-alukan penglibatan agensi kerajaan, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai industri untuk bersama-sama menyemarakkan sambutan WSW sepanjang bulan ini. – UTUSAN

HAMDAN ABU
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya