Letak sasaran pukal Sukan Olimpik Paris 2024? - Utusan Malaysia

Letak sasaran pukal Sukan Olimpik Paris 2024?

KONTINJEN Malaysia merangkul 32 pingat di Sukan Asia Hangzhou di China, baru-baru ini. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEJAYAAN raih 32 pingat Sukan Asia tutup mulut pengkritik sukan. Begitulah tajuk berita sebuah portal berita pada 11 Oktober lalu. Begitu juga beberapa terbitan media lain dengan tajuk hampir sama.

Terperanjat juga saya dan otai-otai media sukan yang sudah terbabit dalam bidang ini sejak 1990-an lagi.

Ramai rakan-rakan saya, iaitu pengkritik sukan yang kembali aktif seperti Lazarus Rok, Tony Mariadass, V. Ashok, Datuk Hishamuddin Aun, Asan Ahmad dan beberapa lagi kebetulan memberikan pandangan serta kritikan sama.

Mereka ini bekas editor sukan yang sangat berpengalaman luas membuat liputan pelbagai temasya sukan utama dunia. Memang betul, tajuk berita itu membuat mulut kami tertutup dan diakui oleh rakan-rakan saya.

Sebabnya kalau mulut kami tidak tertutup dengan kenyataan itu, sudah tentu kami akan ketawa terbahak-bahak disebabkan lawak itu.

Semuanya gara-gara penguasa sukan kita ini dikritik hebat dan diperlekehkan kerana amalan baharu sasaran secara pukal 27 pingat (bukan sasaran khusus untuk pingat emas) yang mereka perkenalkan untuk Sukan Asia Hangzhou ini diibaratkan oleh pengkritik sukan seperti pergi makan angin dengan sasaran selamat.

Kononnya tidak mahu memberi tekanan kepada atlet seperti dinasihatkan oleh Universiti Sains Sukan Nippon (NSSU), sebuah universiti di Jepun yang merangkul 40 pingat emas di temasya Sukan Olimpik.

Tatkala kontinjen negara mencapai sahaja sasaran 32 daripada 27 pingat yang disasarkan di Hangzhou, ibarat tentera yang hampir kehabisan peluru terpaksa bertahan di gua, seolah-olah mendapat talian hayat bantuan udara yang menggugurkan bekalan peluru serta bom tangan untuk mereka kembali bersemangat baharu.

Mereka menyerang pengkritik sukan kononnya segala tuduhan itu palsu dan shame on you sebab membuat tuduhan tersebut.

Agak mengejutkan saya apabila penguasa sukan kita seperti tidak memahami sasaran selamat yang dimaksudkan oleh pengkritik sukan. Ia bermaksud buatlah macam mana pun, sasaran itu pasti akan tercapai sama ada lebih sedikit atau lebih banyak daripada sasaran ditetapkan.

Itulah yang dimaksudkan dengan sasaran selamat. Malangnya, bila sasaran itu dicapai dan lebih sedikit daripada jumlah disasarkan, ia seolah-olah satu pencapaian gilang-gemilang atlet kita hingga mereka sudah tidak segan silu untuk berbangga dan syok sendiri.

Mungkin juga kerana penguasa sukan negara yang semakin cemas dek kegagalan demi kegagalan di pelbagai temasya sukan sebelum ini, maka mereka perlu mencari mekanisme baharu yang direka agar dilihat kononnya ia satu pendekatan konkrit dan datang dari sebuah institusi pendidikan luar negara yang memiliki profil hebat.

Mungkin kini penguasa sukan kita dilihat terperangkap untuk menetapkan sasaran di Sukan Olimpik Paris 2024. Apakah nak teruskan dengan amalan pingat secara pukal tanpa menyatakan pingat emas adalah sasaran kita menerusi Projek Road to Gold (RTG)?

Jika umumkan jumlah pukal sahaja tanpa warna pingat, maka jelas projek RTG itu sudah terpesong. Kalau nak umumkan pingat secara pukal, soalnya berapa ya?

Tertekan kembali nampaknya penguasa sukan negara menjelang sukan itu. Akan berlaku lagi perang dingin bersama-sama pengkritik sukan negara. Itulah jika kita sentiasa hidup dalam pena­fian, maka itulah yang akan terus berlaku. – UTUSAN

DATUK DR. PEKAN RAMLI, Penganalisis sukan negara

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya