Leka punca treler, lori terbabas? - Utusan Malaysia

Leka punca treler, lori terbabas?

KEMALANGAN melibatkan kenderaan berat perlu diberikan perhatian oleh pengusaha dan pemandunya. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin memberi pandangan tentang kemalangan kenderaan berat terutama lori yang meragut banyak nyawa sejak akhir-akhir ini.

Lori dianggap seperti gajah dan kenderaan kecil adalah kancil. Jikalau berlaku kemalangan membabitkan kedua-duanya, lori sudah tentu melibatkan kehilangan nyawa yang besar.

Saya tidak ingin menyalahkan kenderaan berat semata-mata jika berlaku sesuatu kemalangan, tetapi saya mahu menyentuh kecelakaan melibatkan lori yang kadangkala dilihat pemandunya boleh mengelak nahas seperti berlaku di Jalan Segamat-Kuantan pada awal September lalu.

Lori ini dikatakan bermuatan pasir telah memasuki laluan bertentangan sewaktu kenderaan berhenti dan telah mengakibatkan enam sekeluarga maut.

Kejadian di Putrajaya pada 20 September lalu pula berlaku ketika kenderaan berhenti untuk memberi laluan kepada konvoi anggota polis trafik dirempuh treler yang membawa muatan batu konkrit hingga mengakibatkan dua penunggang motosikal maut di lokasi berkenaan.

Jika melihat kepada kedua-dua kemalangan ini, pemandu kenderaan berat itu mampu memberhentikan kenderaan masing-masing, Ini kerana semua kenderaan lain telah memperlahankan kelajuan disebabkan ada halangan di hadapan.

Oleh itu, kemalangan melibatkan lori ini perlu diberikan perhatian oleh pengusaha dan pemandu kenderaan berat.

Penguatkuasaan yang lebih kerap serta tegas perlu dibuat oleh agensi berkaitan terutama dalam aspek muatan dan pemeriksaan brek.

Kebanyakan lori dilihat membawa muatan berlebihan, tidak menutup dengan kemas menyebabkan pasir, batu, tanah dan barang pukal berterbangan dan kadangkala hinggap di cermin kenderaan dan bertaburan di atas jalan raya.

Jalan raya yang bersih menjadi licin, tanah pula mengotorkan jalan dan kenderaan lain serta serpihan barangan pukal boleh menjadi objek berbahaya terutama kepada penunggang motosikal.

Selain itu, pemandu kenderaan berat ini kadangkala mementingkan diri sendiri apabila tidak memberi laluan kepada kenderaan kecil untuk memotong.

Sikap sebegini sebenarnya punca berlakunya kenderaan memotong secara berbahaya dan boleh mengundang kecelakaan.

Dapat dilihat juga, segelintir pemandu lori ini memandu sambil lewa dan menggunakan telefon bimbit sambil memandu.

Kealpaan pemandu ini ketika berhadapan dengan situasi halangan di hadapannya sudah tentu tidak membolehkannya membrek mengejut dan apa yang ada di hadapan akan dirempuhnya.

Momentum akibat muatan berat sudah tentu pergerakan lori menjadi cepat apatah lagi permukaan jalan yang curam dan kesan atau impak pelanggaran pastinya amat dahsyat dan boleh meragut banyak nyawa.

Maka pemandu lori dengan mudah mengatakan sistem brek kenderaan berat berbeza dengan kenderaan ringan, tidak boleh membrek mengejut dan bermacam alasan lagi.

Bukankah sudut pandangan kenderaan berat luas dan boleh melihat jauh ke hadapan berbanding kenderaan biasa? Maka pemandu kenderaan berat sepatutnya boleh mengagak jarak dan mengetahui situasi di hadapan lebih awal.

Selain itu, dengan rancaknya pembinaan laluan kereta api terutama di kawasan Pantai Timur, kenderaan berat kepunyaan operator projek terbabit dilihat menguasai jalan persekutuan dan jalan negeri.

Lori dipandu laju dan sudah tentu sedikit sebanyak mengganggu kelancaran aliran lalu lintas dan mengancam pengguna jalan raya sedia ada.

Saya memohon kepada pihak berwajib khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) agar memantau lebih kerap terutama kenderaan berat agar pemandunya berdisiplin dan berhemah. – UTUSAN

PEMANDU KERETA, Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya