Kita masih guna idea bajet gagal - Utusan Malaysia

Kita masih guna idea bajet gagal

KERAJAAN perlu keluar daripada cengkaman majikan yang ingin menggunakan tenaga kerja murah untuk mengaut keuntungan lebih. – GAMBAR HIASAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BELANJAWAN 2024 yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober lalu masih menggunakan idea yang didapati telah gagal.

Dikatakan galakan cukai yang diberikan kepada syarikat adalah mengikut dasar ekonomi meleleh trickle-down economics dan ia berpotensi mendorong pelabur untuk meningkatkan pelaburan modal masing-masing.

Dasar itu adalah satu mitos diuar-uarkan golongan peniaga bahawa kekayaan disalurkan kepada mereka akan pada satu hari nanti mengalir ke dalam tangan rakyat. Ini adalah penipuan semata-mata.

Dasar sebegini digunakan sejak berdekad-dekad lama dan hasilnya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) naik 24 kali dalam tempoh 50 tahun tetapi gaji median pekerja kilang dalam tempoh sama hanya naik 1.4 kali.

Di manakah kekayaan ini kalau bukan dalam tangan majikan dan peniaga besar? Istilah yang digunakan oleh kerajaan seperti ‘rombakan ekonomi’ hanya meniru dasar teruk kerajaan lampau dan menggunakan propaganda untuk mempopularkannya.

Kalau tidak, mengapakah cukai keuntungan modal hanya dilaksanakan untuk pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan?

Adalah lebih patut jika semua jenis pelupusan saham dikenakan cukai ini supaya syarikat besar yang memegang saham turut terkesan.

Kerajaan juga sepatutnya mencari jalan keluar daripada cengkaman peniaga tempatan dan luar negara yang ingin menggunakan tenaga kerja murah untuk mengaut keuntungan lebih.

Dalam pada itu, satu tumpuan ekonomi yang dikatakan menarik adalah sektor pertumbuhan tinggi dan nilai tinggi.

Akan tetapi, pelaksanaan tumpuan ini adalah menjadikan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang di Johor sebagai hab petrokimia. Pendekatan ini tidak berbeza dengan kaedah lampau.

Di manakah tumpuan kepada sektor farmaseutikal atau teknologi lain? Adakah Malaysia akan terus kekal terikat dengan bahan api fosil?

Respons kepada persoalan ini adalah tumpuan kepada perkembangan sektor kenderaan elektrik (EV). Ini adalah satu harapan palsu yang diberikan oleh syarikat pengeluar EV.

Tanpa adanya anjakan kepada teknologi penjanaan tenaga elektrik secara bersih, penggunaan EV hanya akan meningkatkan kebergantungan pada bahan api fosil kerana tenaga elektrik di negara kita kebanyakannya dijana oleh arang batu (42.8%) dan gas asli (40.2%).

Saya juga kecewa kerana Belanjawan 2024 tidak mengendahkan isu keterjaminan makanan. Sampai sekarang, kerajaan tidak mempedulikan kumpulan petani di Perak yang sedang diusir dari tanah mereka.

Perkara ini juga dicerminkan dalam belanjawan ini apabila peruntukan bagi keterjaminan makanan amat kurang dan tiada pelan radikal untuk mengatasi masalah kebergantungan meningkat terhadap makanan import yang menelan kos sebanyak RM62 bilion setahun. – UTUSAN

ARVEENT KATHIRTCHELVAN, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya