SAUDARA PENGARANG,
TUJUAN subsidi sebanyak RM52.8 bilion dalam Belanjawan 2024 diberikan bertujuan membantu rakyat yang memerlukan bagi jangka masa pendek dan sederhana. Namun, pemberian subsidi dilihat sebagai belanja hangus kerana tidak menjana kepada aktiviti produktif untuk jangka panjang.
Dengan pengurangan subsidi, perbelanjaan kerajaan dapat dijimatkan ke arah mengurangkan defisit fiskal kepada lima peratus berbanding 5.6 peratus, tahun lepas.
Belanjawan 2023 merupakan belanjawan terbesar berjumlah RM388.1 bilion berbanding tahun-tahun sebelum. Kerajaan akan memperkenalkan subsidi bersasar untuk golongan yang benar-benar memerlukan.
Namun, bantuan subsidi tidak menjamin kepada pembasmian kemiskinan kerana tujuan subsidi bukanlah untuk rakyat terus bergantung kepada kerajaan, tetapi ia perlu menjadi titik tolak untuk mereka dapat bangkit dan sama-sama membangun melakukan aktiviti yang dapat menjana pendapatan sendiri.
Seseorang boleh terperangkap dalam kemiskinan sekiranya terus bergantung kepada subsidi dan tenggelam dalam keselesaan. Ini kerana punca kemiskinan datang dari pelbagai faktor dan bukan sahaja dapat diselesaikan dengan pemberian subsidi tetapi juga aspek lain seperti pendidikan, kesihatan, akses, dan infrastruktur.
Pada pendapat saya, golongan pembayar cukai juga perlu menikmati subsidi walaupun sedikit sebagai penghargaan dan motivasi untuk membayar cukai kerana mereka melihat pulangan balik daripada cukai
dibayar.
Saya percaya Belanjawan 2024 ini memberikan tumpuan untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat. Namun, meringankan beban kos sara hidup bukanlah penyelesaian mutlak. Punca kepada kenaikan sara hidup rakyat perlu ditangani segera dan diberi perhatian. Contohnya, punca kenaikan harga disebabkan kekurangan penawaran di samping permintaan tinggi. Maka belanjawan ke arah usaha meningkatkan penawaran serta peningkatan dalam jumlah pengeluar dan pengeluaran perlu diperkasakan.
Selain itu, kekangan penawaran disebabkan kurangnya pemantauan dan tadbir urus yang lemah. Maka belanjawan kepada kecekapan tadbir urus juga perlu diberi perhatian bagi menyelesaikan masalah kepada perkara yang menjadi punca. Ini kerana bantuan subsidi lebih kepada penyelesaian masalah kesan dan bukan masalah punca. Ibarat mengelap lantai yang basah tetapi tidak membaiki paip yang bocor.-UTUSAN
DR. ELYA NABILA ABDUL BAHRI
Universiti Malaya