SAUDARA PENGARANG,
UMUM sedia maklum, kerajaan negeri Terengganu mengeluarkan pekeliling yang memperuntukkan atlet gimnastik beragama Islam di Terengganu tidak dibenarkan menyertai acara itu dalam mana-mana kejohanan sukan termasuk Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
Ini bagi mematuhi Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu yang baharu dilancarkan pada Mac 2020 serta prinsip syariah yang diterapkan.
Berikutan larangan itu, satu-satunya atlet bukan Islam dari Terengganu, Tok Exin, 17, terpaksa menghentikan hajat untuk terus bergiat dalam sukan tersebut kerana terganggu dari segi emosi kerana tidak ada sembilan rakan sepasukan lain untuk memberi sokongan moral.
Sekitar 2019, arahan serupa tetapi lebih radikal pernah dikeluarkan oleh kerajaan negeri Terengganu apabila sukan gimnastik yang disertai atlet wanita (tidak mengira kaum dan agama) turut dilarang untuk disertai atau diadakan di negeri itu.
Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman lantang mempertahankan atlet gimnastik wanita tanpa ragu-ragu.
Tambahan lagi, beliau turut menyatakan dengan keras bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengambil alih Majlis Sukan Negeri Terengganu sekiranya larangan tersebut masih dilaksanakan.
Hasilnya, kerajaan negeri pantas menarik balik larangan tersebut daripada terus dikuatkuasakan. Kini, kerajaan negeri menguji pendirian Kerajaan Persekutuan sekali lagi.
Oleh itu, KBS tidak boleh mengambil sikap berdiam diri. Dasar-dasar konservatif radikal seperti ini tidak boleh dibenarkan untuk dilaksanakan kerana ia akan mengakar dan menular dalam bidang-bidang pentadbiran atau sektor lain suatu hari nanti. – UTUSAN
ANDY TEOH, Ahli Majlis Tertinggi Pemuda MCA Pusat