SAUDARA PENGARANG,
MUNGKIN ramai menyangka penyakit diabetes hanya menyerang golongan dewasa. Pandangan itu adalah tidak tepat kerana penyakit itu turut dihidapi oleh kanak-kanak yang dinamakan melitus diabetes.
Ia berkisar tentang insulin, sejenis hormon penting yang dikeluarkan organ pankreas. Insulin memainkan peranan penting untuk mendapatkan glukosa, yang merupakan satu sumber tenaga ke dalam sel-sel kita.
Melitus diabetes adalah keadaan di mana kurangnya insulin atau tindakannya berkurangan (rintangan insulin).
Kedua-dua keadaan ini boleh membawa kepada paras glukosa yang tinggi dalam aliran darah. Itulah melitus diabetes.
Jenis melitus diabetes paling biasa dalam kalangan kanak-kanak adalah jenis satu, iaitu kekurangan insulin dan jenis dua, berkaitan masalah rintangan insulin.
Jenis satu adalah keadaan autoimun apabila sistem imun tubuh seseorang menyerang sel atau tisunya sendiri
Dalam erti kata lain, badan menghasilkan antibodi yang memusnahkan sel-sel beta di dalam pankreas. Sel-sel itulah yang bertanggungjawab menghasilkan insulin.
Keadaan jenis dua pula, badan masih boleh menghasilkan insulin, tetapi insulin kurang bertindak.
Dalam pada itu, gejala dan tanda-tanda kanak-kanak menghidap diabetes ialah sering berada dalam keadaan terlalu dahaga.
Banyak kencing, terjaga pada waktu malam untuk membuang air kecil atau kencing di katil pada waktu malam adalah gejala penting yang perlu diberi perhatian pada kanak-kanak.
Sesetengah ibu bapa mungkin ada memberitahu mengenai semut di dalam tandas, kerana semut tertarik kepada air kencing yang mengandungi glukosa.
Kanak-kanak juga boleh mengalami jangkitan kulat, penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan atau kegagalan untuk menambah berat badan walaupun sering makan kerana lapar.
Sekiranya ibu bapa mendapati adanya gejala dan tanda-tanda itu, segera berjumpa doktor bagi bertanya kemungkinan adanya diabetes pada kanak-kanak.
Salah satu langkah penting yang boleh membawa kepada diagnosis diabetes lebih awal adalah kesedaran bahawa kanak-kanak juga boleh menghidap penyakit kencing manis.
Jika gejala-gejala tersebut tidak dikesan dari awal, ia boleh melarat dan menjadi ketoasidosis diabetik , sejenis diabetes kronik dengan gejala-gejala lebih teruk termasuk muntah, kelesuan, sesak nafas dan sakit perut.
Dalam pada itu, pada 2019, Atlas Persekutuan Diabetes Antarabangsa melaporkan 977 kes diabetes dalam kalangan kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun dikesan di Malaysia.
Daripada kedua-dua jenis diabetes, yang paling biasa dihidap kanak-kanak adalah jenis satu yang menyumbang lebih daripada 90 peratus kes melitus diabetes di seluruh dunia.
Kadar diabetes jenis satu dalam kalangan kanak-kanak telah meningkat di seluruh dunia dan diagnosis sedang dibuat ke atas kanak-kanak yang jauh lebih muda juga. Di Malaysia, purata umur diagnosis adalah antara tujuh hingga lapan tahun.
Di dalam kes diabetes jenis dua, faktor risiko yang diketahui ialah obesiti dan ia semakin meningkat di Malaysia. Keadaan ini biasa dilihat dalam kumpulan umur remaja.
Walaupun wujud kaitan yang kuat antara obesiti dan diabetes jenis dua, terdapat faktor lain yang turut mempengaruhi seperti sejarah keluarga dan latar belakang etnik.
Saya menemui ramai ibu bapa yang berasa terkejut, tidak berdaya dan berputus asa apabila anak mereka disahkan menghidap diabetes. Tetapi, ingatlah setiap masalah itu ada penyelesaiannya. – UTUSAN
DR. MEENAL MAVINKURVE
Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU)