Jangan harap bajet ‘mega’ untuk ketenteraan - Utusan Malaysia

Jangan harap bajet ‘mega’ untuk ketenteraan

KEKUATAN ketenteraan tidak boleh digunakan bagi mengukur tahap kemajuan ekonomi negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KETIKA Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23) pada Mei lalu, Kementerian Pertahanan menandatangani 43 dokumen kontrak, surat setuju terima (SST) dan surat niat yang keseluruhannya bernilai RM10.128 bilion.

Dokumen kontrak itu antara lain bagi penerimaan empat helikopter Sikorsky UH60A+ Black Hawk yang berfungsi sebagai platform kepada Tim Nukleus di bawah Tentera Darat Malaysia (TDM).

Helikopter berkenaan akan digunakan bagi tujuan latihan dan tugasan penerbangan operasi TDM melalui sewaan daripada syarikat swasta.

Bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dokumen kontrak adalah bagi perolehan 18 pesawat tempur ringan FA50 yang akan diperoleh daripada Korea Aerospace Industries (KAI).

Selain itu, TUDM juga bakal memperoleh tiga pesawat sistem tanpa pemandu (UAS) dan sistem kelengkapan medium altitude long endurance (MALE) fasa satu daripada Turkish Aerospace Industries.

Bagi memantapkan pemantauan ruang udara negara, TUDM bakal memperoleh dua pesawat rondaan maritim (MPA) fasa satu dan sistem sokongan daripada syarikat Leonardo SPA.

Bagaimanapun, satu hakikat yang harus diterima, kesemua peruntukan untuk pembelian terutama pesawat tempur ringan dan helikopter tersebut tidak semuanya boleh diperoleh daripada Belanjawan 2024 yang dibentangkan hari ini.

Kita harus akui kekuatan ketenteraan adalah perkara penting bagi sesebuah negara. Walaupun sekarang adalah zaman aman dan damai serta tiada peperangan secara besar-besaran tetapi setiap kerajaan masih menyediakan peruntukan tahunan untuk mengekalkan kekuatan ketenteraan.

Namun, satu hakikat harus diketahui bahawa semakin maju sesebuah negara, bukan bererti ia juga akan membelanjakan wang yang banyak untuk peruntukan ketenteraan.

Sebab itu apabila pakar ketenteraan menyenaraikan kedudukan kekuatan ketenteraan bagi setiap negara mengikuti alat-alat yang digunakan, kita tidak boleh membuat tanggapan negara yang berkedudukan tinggi dalam senarai itu adalah lebih maju.

Menuruti laman web, Global Fire Power, Malaysia menduduki tempat ke-42 dalam Senarai Kedudukan Kekuatan Ketenteraan 2023.

Oleh itu, ramai yang menganggap kedudukan Malaysia ini adalah selaras dengan tahap kemajuan negara kita.

Anggapan sedemikian jelas salah kerana Mesir menduduki tempat ke-14 manakala Korea Utara menduduki tempat ke-34.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita bagi Mesir adalah kurang daripada AS$4,000 dan bagi Korea Utara adalah kurang daripada AS$1,000. Lihat kembali kepada negara kita, KDNK per kapita kita telah melebihi AS$10,000 pada 2013.

Ini membuktikan kekuatan ketenteraan bukan ukuran tahap kemajuan bagi sesebuah negara. Kelemahan negara kita dalam aspek ketenteraan seperti tercatat dalam senarai itu kerana ia bukan bidang yang menjadi tumpuan utama pembangunan oleh kerajaan.

Contohnya, Kementerian Pertahanan memperoleh peruntukan sebanyak RM17.74 bilion dalam Belanjawan 2023, iaitu jauh lebih rendah berbanding Kementerian Kesihatan yang memperoleh sebanyak RM36.3 bilion dan Kementerian Pendidikan mendapat RM55.2 bilion.

Tuntasnya, kekuatan ketenteraan tidak boleh digunakan bagi mengukur tahap kemajuan ekonomi negara kerana ia bukan pembangunan utama yang diberi tumpuan oleh kerajaan. – UTUSAN

TEO WEI HONG, Batu Pahat, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya