SAUDARA PENGARANG,
MUTAKHIR ini, kita diperingatkan oleh banyak pihak tentang bahaya rasuah pada sesebuah negara. Sedar atau tidak, sebenarnya kumpulan yang mengambil rasuah boleh dikategorikan kepada tiga golongan.
Pertama, golongan bila ditawarkan rasuah, dia tengok, dia ambil, dia buat harta. Golongan ini sangat bahaya kerana 100 peratus memang tak makan saman. Tetapi ingat, niat tidak menghalalkan cara. Ingat itu.
Kedua, golongan bila ditawarkan rasuah, dia tengok, dia tak ambil, tetapi dia tak buat laporan kepada pihak berkuasa. Golongan ini pun sikit bahaya sebab dia pentingkan diri. Golongan macam ini menyebabkan pihak yang menawarkan rasuah semakin berani.
Ketiga, golongan bila ditawarkan rasuah, dia tengok, dia tak ambil dan dia buat laporan kepada pihak berkuasa. Yang ini saya sebagai pegawai badan berkanun ‘tabik spring.’ Inilah sebenarnya golongan yang wujud apabila ditawarkan rasuah.
Negara boleh hancur kerana rasuah. Peringatan bahawa rasuah durjana perlu disematkan dalam fikiran semua pelajar. Ini kerana kepimpinan negara suatu masa nanti akan terletak di atas bahu mereka.
Jika mengajar asas agama Islam tentang hukuman berat bagi pengamal rasuah, saya percaya bakal-bakal pemimpin muda kita pada masa hadapan ini tidak akan terlibat dengan anasir rasuah.
Kalau tidak, mereka dan keluarga yang malu. Jangan tak percaya, negara pun boleh dijual jika rasuah menjadi budaya sesebuah negara.
Katakan tidak pada rasuah! Saya sangat mengharapkan dan berdoa kepada Tuhan supaya seluruh rakyat Malaysia bertindak seperti golongan ketiga.
Dia tengok wang rasuah, tetapi dia tidak ambil dan dia juga buat laporan pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hanya orang yang imannya pada peringkat mukhlash yang tidak mengambil rasuah. – UTUSAN
MOHD. EFENDI MAT DAUD, Kepala Batas, Pulau Pinang