SAUDARA PENGARANG,
MASYARAKAT sering dimomokkan tentang rokok elektronik atau vape yang dikatakan lebih selamat berbanding rokok tembakau.
Mitos bahawa rokok elektronik ini tidak mengandungi kandungan nikotin dibawa oleh pengilang, pembekal dan penjual cecair vape hanya satu teknik pemasaran bertujuan mengaut keuntungan semata-mata.
Selain itu, propaganda kononnya rokok elektronik atau vape mampu membantu perokok tegar untuk berhenti merokok juga menyebabkan mereka terpengaruh dan lebih memilih rokok elektronik.
Kandungan bahan kimia berbahaya dalam asap rokok akan memberikan kesan terhadap paru-paru penggunanya. Antara simptom Evali (penyakit kecederaan paru-paru) yang mula-mula dialami pesakit termasuk sakit dada dan nafas menjadi pendek semasa melakukan aktiviti fizikal seperti berjalan pantas. Evali juga menyebabkan pengurangan jumlah kepekatan oksigen di dalam darah dan penampakan tompok-tompok pada dapatan x-ray dan lain-lain.
Sama seperti penggunaan dadah, rokok elektronik atau vape juga mengandungi kandungan nikotin dan beberapa bahan kimia berbahaya lain. Walaupun mengandungi peratusan kandungan nikotin rendah, peranti ini berisiko menyebabkan penggunanya mengalami ketagihan yang tidak dapat dikawal. Penggunaan nikotin dalam satu tempoh panjang dan tanpa kawalan akan menyebabkan gangguan otak yang menghasilkan kebergantungan psikologi serta dorongan kuat untuk sentiasa menggunakan rokok eletronik atau vape.
Pendedahan nikotin terhadap otak akan menghasilkan rangsangan kepada individu sehingga tidak dapat mengawal ketagihan.
Malah penggunaan dalam jangka panjang boleh menyebabkan tahap kesuburan individu berkurang sementara bagi ibu mengandung pula akan mengganggu tumbesaran bayi dalam kandungan sehingga menyebabkan keguguran.
Kesimpulannya, penggunaan rokok elektronik atau vape tidak membawa sebarang manfaat seperti didakwa pihakpihak tertentu. Tiada sebarang kajian mampu membuktikan peranti ini dapat membantu perokok untuk berhenti merokok malah hanya mendatangkan implikasi membahayakan kepada penggunanya.
Semua pihak perlu sedar tentang kemudaratan rokok elektronik atau vape dan menjauhi diri daripada terjebak dengan penggunaannya. Kesan negatif daripada penggunaan peranti ini dapat dikurangkan apabila semua lapisan masyarakat sedar tanggungjawab masing-masing.-UTUSAN
NUR ANIS AFINA MUHAMAD DAN
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)