Hidupkan semula majalah sekolah walaupun ada media sosial - Utusan Malaysia

Hidupkan semula majalah sekolah walaupun ada media sosial

MAJALAH sekolah mengandungi pelbagai jenis pengisian seperti laporan, karya kreatif, gambar aktiviti sekolah dan banyak lagi. – GAMBAR MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MAJALAH sekolah adalah satu tradisi yang perlu dihidupkan semula dalam sistem pendidikan kita di Malaysia. Pada zaman dahulu, hampir setiap sekolah menengah menerbitkan majalah sekolah mereka.

Majalah ini mengandungi pelbagai jenis pengisian seperti laporan, karya kreatif, gambar aktiviti sekolah dan banyak lagi. Usaha penerbitan majalah ini biasanya dikendalikan oleh guru serta pelajar.

Namun, akhir-akhir ini, kita dapat melihat bahawa semakin jarang sekolah menerbitkan majalah. Alasan utama adalah faktor kewangan yang membebankan sekolah serta ibu bapa dan juga penggunaan aplikasi media sosial.

Walaupun media sosial menjadi popular, tetapi jika kita lihat laman web rasmi sekolah, banyak daripadanya tidak aktif, manakala aktiviti-aktiviti yang dimuat naik dalam media sosial sering kali kurang mendapat perhatian yang sepatutnya.

Oleh itu, adalah penting dihidupkan semula majalah sekolah kerana membawa banyak faedah kepada pelajar dan ibu bapa. Ia memberi peluang kepada pelajar untuk melibatkan diri dalam proses penerbitan dan ini dapat membina kemahiran menulis, penyuntingan dan rekaan grafik.

Majalah sekolah juga berfungsi sebagai dokumentasi praktikal mengenai perkembangan sekolah. Ia merakamkan sejarah sekolah dan acara-acara yang berlaku dalam tempoh tertentu. Dokumentasi ini amat berguna untuk rujukan masa depan dan bagi mengekalkan warisan sekolah.

Jadi, adalah penting untuk memulihkan semula tradisi majalah sekolah dalam sistem pendidikan kita.

Dengan sokongan daripada pihak sekolah, guru dan juga Kementerian Pendidikan, kita boleh memastikan bahawa majalah sekolah terus menjadi satu sumber kebanggaan dan pengetahuan yang bermanfaat untuk semua pihak yang terlibat. – UTUSAN

AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN