SAUDARA PENGARANG,
GABUNGAN Liga Muslim Pulau Pinang dan 37 persatuan Islam mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel mengebom Palestin secara keterlaluan di samping tindakan rejim Zionis itu menyekat belakan asas air, elektrik dan makanan.
Situasi perang Israel-Palestin yang berat sebelah perlu intervensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk melaksanakan serta mengaplikasikan undang-undang antarabangsa dan resolusi bagi menghentikan sebarang tindakan melanggar hak kemanusian asas.
Sebuah kerajaan pusat perlu diwujudkan bagi mentadbir wilayah Israel, Tebing Barat, Baitulmuqaddis, Gaza dan Bukit Golan. PBB perlu mencari cara untuk mendamaikan kedua-dua pihak sebagai kerajaan pusat bagi tempoh masa ini sehingga setiap wilayah mencapai kedamaian dan seterusnya memastikan pembangunan sebagai satu negara pada masa hadapan terjamin bagi warga Israel dan Palestin untuk mencapai satu kehidupan selamat dan makmur.
Konflik 70 tahun perlu segera dihentikan. PBB, OIC dan masyarakat antarabangsa boleh bertindak dengan sekatan dan kuasa tentera pengaman PBB sekiranya resolusi pendamaian tidak diikuti. Israel atau mana- mana negara tidak boleh bertindak melebihi undang-undang ditetapkan PBB dan OIC yang diwakili seluruh dunia serta negara-negara Islam perlu mengaplikasikan undang-undang antarabangsa secara saksama.
Retorik politik dan berita-berita beragenda seperti menindas dan menghukum masyarakat awam Palestin serta mempengaruhi rakyat dunia perlu ditapis kebenarannya. Jika tidak, suasana seperti sekarang akan berlarutan dengan banyak angka nyawa awam terkorban terus meningkat.-UTUSAN
DATUK NAJMUDEEN KADER
Presiden Liga Muslim Pulau Pinang dan Presiden Liga Muslim Malaysia