SAUDARA PENGARANG,
SETIAP kali dikemukakan syor kepada kerajaan untuk memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial ataupun melaksanakan program untuk memulihkan alam sekitar, jawapan yang diberikan adalah cadangan itu terpaksa ditangguh kerana Malaysia menghadapi defisit belanjawan sebanyak RM100 bilion setahun dan hutang negara sudah mencecah RM1 trilion.
Masalah defisit belanjawan Persekutuan timbul kerana nisbah pendapatan terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah menurun, daripada 27% KDNK pada 1980 kepada hanya 15.1% KDNK sekarang.
Salah satu sebabnya pengurangan pendapatan Kerajaan Persekutuan ialah pengurangan kadar cukai korporat di Malaysia yang telah diturunkan daripada 40% pada 1986 kepada 24% sekarang. Ini berlaku kerana wujud perlumbaan untuk menurunkan cukai korporat oleh negara-negara ASEAN bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI).
Dalam keadaan di mana Thailand menurunkan kadar cukai korporatnya kepada 19% dan Vietnam kepada 20%, Malaysia juga terasa tertekan untuk menurut kerana khuatir pelabur asing akan mengelak daripada melabur di Malaysia oleh kerana kadar cukai korporat lebih tinggi berbanding negara jiran. Pihak Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga mengesyorkan polisi penurunan kadar cukai korporat sebagai satu cara baik untuk menggalak pelaburan.
Bagi menangani isu ini adalah disyorkan supaya diadakan perundingan serantau dengan negara Thailand, Indonesia, Filipina dan Vietnam untuk menghentikan perlumbaan untuk menurunkan kadar cukai korporat. Empat negara ini menjadi pesaing utama bagi Malaysia untuk FDI.
Jika salah satu daripada negara-negara ini meningkatkan kadar cukai korporatnya secara bersendirian, ada kemungkinan negara itu akan kehilangan FDI kepada negara lain di ASEAN. Tetapi jika keempat-empat negara tersebut dan Malaysia juga meningkatkan cukai korporat dengan kadar sama, mereka tidak akan menghadapi masalah kehilangan FDI kepada negara jiran.
Thailand, Indonesia, Filipina dan Vietnam juga menghadapi masalah defisit belanjawan seperti Malaysia dan memerlukan dana untuk melaksanakan program-program memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial di negara mereka.
Mereka juga memerlukan dana untuk memperkukuhkan pengangkutan awam dalam usaha mengurangkan penggunaan petrol oleh kenderaan persendirian. Peningkatan dalam hasil pendapatan kerajaan akan banyak membantu jiran kita di dalam ASEAN untuk mencapai kesemua matlamat tersebut.
Satu lagi syor adalah berkenaan cadangan dikenakan cukai baharu terhadap kilang-kilang dan loji-loji penjanaan elektrik yang melepaskan karbon dioksida melebihi 25,000 tan setahun. Masalah dengan cukai ini adalah ia akan meningkatkan kos pembuatan di negara yang melaksanakannya kerana kos kuasa elektrik, bahan besi dan simen akan naik. Ini mungkin akan mendorong pelabur untuk melabur di negara ASEAN lain.
Tetapi jika cukai karbon ini dilaksanakan serentak di semua negara ASEAN, kesan negatif terhadap pelabur dapat dikurangkan dan semua negara ASEAN akan mendapat dana yang lebih besar untuk mengendalikan krisis iklim.-UTUSAN
DR. JEYAKUMAR DEVARAJ
Bekas Ahli Parlimen Sungai Siput