SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi respons terhadap operasi Taufan Al-Aqsa yang dilancarkan Hamas terhadap negara itu.
Dia menyelar Hamas sebagai ‘biadab’ dan menyamakan kumpulan yang menguasai Semenanjung Gaza itu dengan kelompok radikal ISIS, malah menyifatkan Hamas lebih teruk berbanding beberapa kumpulan pengganas lain.
Hamas ialah akronim untuk Harakat al-Muqawama al-Islamiyya (Gerakan Penentangan Islam), iaitu sebuah organisasi militan dan politik Palestin yang ditubuhkan pada 1987.
Hamas juga terkenal dengan ideologi anti-Semitik dan anti-Barat serta penentangannya terhadap proses damai yang dilihat sentiasa menguntungkan Israel dan merugikan Palestin.
ISIS pula akronim untuk Islamic State in Iraq and Syam, iaitu kumpulan militan jihad yang ditubuhkan pada 1999.
Ia terkenal dengan taktik kejam termasuk pengeboman berani mati, hukuman mati beramai-ramai dan pemenggalan kepala serta ideologi ekstremis yang menyeru penubuhan negara Islam global ditadbir dengan tafsiran ketat undang-undang syariah.
Walaupun kedua-dua kumpulan menyatakan matlamat untuk menubuhkan negara Islam yang ditadbir oleh undang-undang syariah, matlamat khusus mereka berbeza.
Hamas berusaha untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka, manakala ISIS bertujuan menubuhkan sebuah khalifah Islam global.
Dari aspek sokongan antarabangsa, kedua-dua kumpulan mendapat sokongan daripada segmen tertentu penduduk Islam, tetapi tahap sokongan antarabangsa mereka berbeza dengan ketara.
Majoriti sokongan terhadap Hamas datang dari negara Arab dan Islam serta beberapa komuniti diaspora Palestin dan negara benua Afrika, manakala majoriti dunia menyenaraikan ISIS sebagai kumpulan pengganas.
Malaysia sendiri mengeluarkan fatwa bahawa sebarang sokongan terhadap kelompok ISIS adalah bercanggah dengan syariah Islam yang sebenarnya.
Kesimpulannya, perbezaan antara kedua-duanya amat jelas seperti bezanya siang dan malam.
Tuntasnya, Hamas adalah salah satu daripada pecahan gerakan Islam, Ikhwanul Muslimin yang lebih terarah dalam menjulang kembali landasan Islam sebenar di mata dunia. – UTUSAN
AINUL ASYRAF LOKMAN dan MOHD. ROSLAN MOHD. NOR, Universiti Malaya (UM)