Formula mudah ukur prestasi kerajaan perpaduan

Formula mudah ukur prestasi kerajaan perpaduan

PIHAK kerajaan perlu kurang bercakap sebaliknya bekerja kuat dengan dasar yang terbaik. -UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

RAKYAT mempunyai kewajipan untuk patuh kepada pihak kerajaan. Kepatuhan rakyat adalah amat penting untuk keamanan, keharmonian, kestabilan dan kemakmuran negara dan negeri.

Setiap rakyat yang menimbulkan kekacauan yang jelas melanggar undang-undang hendaklah dihadapkan ke muka pengadilan. Pada masa sama, kerajaan mempunyai kewajipan tanggungjawab yang wajib dilaksanakan.

Antara kewajipan kerajaan ialah mendapatkan hasil pendapatan yang cukup untuk negara dan negeri. Untuk ini, sistem cukai yang adil dan inklusif adalah perlu.

Hasil pendapatan yang cukup menyebabkan kerajaan tidak perlu berhutang dan dapat berbelanja untuk negara dan negeri.

Antara kewajipan kerajaan ialah bersikap adil. Adil ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Contohnya peruntukan bantuan kewangan yang adil tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

Kerajaan Persekutuan hendaklah adil dalam agihan kewangan kepada kerajaan negeri walaupun berbeza parti politik. Jika agihan kewangan disekat atau dikurangkan kerana perbezaan parti politik, ia tindakan zalim.

Kewajipan kerajaan yang lain adalah menambah baik perkhidmatan awam.

Jika kaunter perlu dibuka pada hari cuti kerana keperluan mendesak rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan, maka kerajaan perlu mencari jalan ke arah perkara tersebut.

Begitu juga hal integriti dalam pentadbiran. Tata kelola yang baik amat perlu diwujudkan agar tiada sesiapa yang mengambil kesempatan atas kelompangan tata kelola yang longgar.

Selain itu kewajipan kerajaan ialah memastikan kebajikan rakyat terjaga dengan amat baik. Anak yatim, ibu tunggal, bapa tunggal, orang susah, orang sakit dan sebagainya hendaklah dijaga kebajikan.

Anak muda yang melanjutkan pendidikan diberi bantuan. Pendidikan tidak percuma namun mampu dibayar oleh majoriti rakyat. Manakala rakyat yang tidak mampu membayar diberi bantuan kewangan untuk pendidikan.

Kewajipan lain kerajaan ialah mengawal harga barang keperluan asas agar kekal stabil dengan harga yang murah dan mampu dibeli.

Antara barang keperluan asas ialah beras, gandum, gula, susu, telur, ayam, ikan, daging dan sayuran.

Tindakan kerajaan memecahkan monopoli menjadi sebab utama kepada kenaikan harga makanan asas, maka kerajaan perlu bertindak segera termasuk kembali kepada sistem yang terbukti berkesan menjaga harga barang.

Menyediakan pendidikan berkualiti dari peringkat rendah hingga peringkat universiti merupakan tanggungjawab kerajaan. Ini termasuk pendidikan percuma dan dengan bayaran yuran yang mampu dibayar.

Antara kewajipan kerajaan juga menyediakan sistem perumahan yang diperlukan dan sesuai dengan pendapatan rakyat selain memastikan sistem elektrik berterusan, air bersih, rangkaian internet untuk maklumat,  pendidikan, perniagaan dan hiburan.

Kesimpulannya, pihak yang menjadi kerajaan perlu bekerja kuat dan lebih kuat.  Menjadi kerajaan adalah amanah dan tanggungjawab. Pihak kerajaan perlu kurang bercakap sebaliknya bekerja kuat dengan dasar dan polisi yang terbaik. Dasar dan polisi yang terbaik akan dinilai oleh rakyat.

Jika rakyat mendapat makanan dengan mudah dan murah, pendidikan berkualiti, pekerjaan baik, sistem perumahan mampu milik, peluang perniagaan dan sebagainya maka kerajaan perpaduan sudah boleh dikatakan berjaya menunaikan tanggungjawabnya.

DR. MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR
Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya