SAUDARA PENGARANG,
KAMI mewakili Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) di peringkat akar umbi membantah dan mengutuk provokasi terbaharu Zionis Israel ke atas Palestin dan mendukung perjuangan rakyat Palestin dalam menuntut hak mereka.
Tindakan diambil pihak Hamas bukanlah provokasi agresif, namun merupakan tindak balas tuntas ke atas siri keganasan Israel. Siri kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin umum diketahui komuniti global dan semakin melampau kebelakangan ini.
Ia sengaja dilakukan bagi mewujudkan ketegangan dan mencetuskan peperangan sebagai sebahagian taktik politik kotor kerajaan rejim Zionis.
Jumlah jiwa yang terkorban bukan sedikit, justeru tindak balas penentangan daripada rakyat Palestin ke atas kekejaman Israel adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan (inevitable) dan menjadi hak mutlak mereka mempertahankan diri dan kedaulatan tanah air.
Kami menyokong dan mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menyatakan kesatuan bersama rakyat Palestin dalam usaha mencapai kemerdekaan dan keamanan serta menoktahkan konflik yang berpanjangan.
Kami menuntut kerajaan Malaysia mendesak badan-badan serantau dan antarabangsa seperti ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk dan mengecam serta tidak takut mengambil tindakan terhadap rejim Zionis yang terusmenerus melanggar hak asasi manusia seperti digariskan dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).
Kami juga mendukung segala usaha perdamaian yang diusahakan oleh masyarakat antarabangsa selagi mana ia berlandaskan penyelesaian yang adil dan berkekalan bagi rakyat Palestin.
Sokongan dalam bentuk sumbangan kemanusiaan melalui badan-badan rasmi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu segera digerakkan bagi membantu rakyat Palestin yang tersepit dan menjadi mangsa kebinasaan lingkungan (collateral damage) dalam episod terbaharu konflik Palestin dan rejim Zionis ini.-UTUSAN
KETUA-KETUA PEMUDA PARTI AMANAH NEGARA (AMANAH) WILAYAH PERSEKUTUAN
Kuala Lumpur