SAUDARA PENGARANG,
TINDAKAN syarikat pengendali kod QR DuitNow mengenakan caj kepada peniaga yang menggunakan aplikasi tersebut bermula 1 November ini mendapat bantahan banyak pihak.
Rata-rata menyifatkan ia bakal membebankan rakyat terutama peniaga kecil. Pelaksanaan caj berkenaan dijangka akan mewujudkan implikasi berantai yang mana peniaga terpaksa memindahkan beban kos itu kepada pengguna sekali gus menyebabkan harga barangan naik lagi.
Bank Negara Malaysia (BNM) telah menjelaskan rasional caj dikenakan adalah bertujuan menampung kos dan pelaburan dilakukan oleh pihak industri untuk menyelenggara sistem pembayaran berkenaan termasuk kawalan keselamatan siber dan pencegahan penipuan.
Apa sekalipun, sekiranya tiada penyelesaian positif berkaitan isu ini dan pengendali tetap bertegas dengan pendirian mengenakan caj tersebut, usah pula memperlekehkan peniaga jika mereka memilih untuk mengambil langkah ke belakang dengan kembali kepada kaedah bayaran secara tunai.
Tidak dinafikan aplikasi itu banyak memberi impak positif kepada kehidupan rakyat kerana tanpa wang tunai mereka masih boleh berbelanja. Kemudahan tersebut popular sejak pandemik Covid-19 melanda negara.
Namun kini, dengan kuasa membeli yang semakin berkurang serta corak perbelanjaan yang berubah, rakyat tentunya tidak mahu lagi berdepan dengan satu lagi bebanan.
Sebagai penyedia aplikasi pasaran kewangan negara yang menyasarkan untuk membina pembayaran dan ekosistem kewangan yang inklusif, mudah diakses dan cekap untuk Malaysia, pengendali aplikasi itu harus menterjemahkan aspirasi tersebut dengan cara yang lebih mesra rakyat.-UTUSAN
MOHD. SALLEH OSMAN
Presint 16, Putrajaya