SAUDARA PENGARANG,
MENDEPANI cabaran Monsun Timur Laut yang melanda saban tahun bermula November ini, negara kini sedang berhadapan dengan fasa peralihan monsun yang membawa hujan lebat beserta angin kencang yang berpotensi mengakibatkan banjir kilat di kawasan pantai barat Semenanjung, barat Sabah dan tengah Sarawak.
Fasa peralihan monsun ini menjadi satu tempoh penting bagi agensi-agensi kerajaan untuk mempersiap dan memperkukuh anggota, aset serta koordinasi antara agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Ini bagi menghadapi kemungkinan episod banjir besar seperti yang pernah berlaku pada 2014 dan 2021 yang mana risiko ini tidak lagi hanya tertumpu di kawasan pantai timur, malah Selangor dan Johor juga turut tersenarai dalam kawasan berisiko.
Walaupun banjir terburuk yang melanda Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor pada Disember 2021 dikatakan disebabkan ‘ketentuan Tuhan’ dan ia di luar kawalan manusia, semua individu digesa memainkan peranan sebagai masyarakat yang bertanggungjawab bagi bersama-sama mengurangkan kesan bencana itu.
Sentiasa peka dengan maklumat cuaca dan akur dengan arahan berpindah ke tempat lebih selamat. Sambutlah kempen 1 Rumah 1 Beg Kecemasan sebagai persediaan diri dan keluarga untuk bertahan selama 48 jam jika terjadi bencana.
Oleh itu, orang ramai dinasihatkan tidak mementingkan diri sendiri apabila diminta untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Sikap ini akan mendedahkan diri, keluarga dan juga pasukan menyelamat dengan risiko bahaya yang mengancam nyawa.
Terdahulu, kita hanya melihat melalui kaca televisyen tentang bencana tsunami, gempa bumi dan ribut taufan yang melanda di luar negara. Namun, beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia sudah menerima tempiasnya dengan kejadian gempa bumi di Sabah pada 2015.
Berlaku juga tragedi banjir besar di Selangor pada 2021 yang menenggelamkan Shah Alam dan menghanyutkan rumah-rumah di Hulu Langat dan kesan gegaran gempa bumi di Sumatera Barat yang turut dirasai di Lembah Klang pada 2022.
Perubahan iklim turut mengundang bencana alam ini kerap berlaku. Tahun 2023 sahaja telah menyaksikan bencana besar yang berlaku di seluruh dunia seperti banjir di Libya, gempa bumi di Maghribi, banjir di China, krisis kebakaran di Amerika Utara dan gempa bumi di Turkiye-Syria.
Tragedi yang sedang berlaku di seluruh dunia ini memberi signal kepada kita rakyat Malaysia untuk bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana pada bila-bila masa dari segi persiapan diri, kelengkapan dan juga latihan.
Dalam pada itu, saya ingin mencadangkan supaya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengadakan latihan simulasi bencana secara berkala melibatkan agensi, NGO dan komuniti setempat.
Kerjasama erat dengan kerajaan negeri dalam menganjurkan program pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti dilihat dapat memperkasa peranan komuniti dalam pengurangan risiko bencana.
Bersempena dengan Bulan Kesiapsiagaan Nasional sepanjang Oktober ini, Majlis Belia Malaysia (MBM) selaku badan induk pertubuhan belia menyeru golongan belia khususnya untuk mempersiapkan diri dengan kemahiran bantuan asas kecemasan dan psikososial di samping melibatkan diri dengan aktiviti kesukarelaan untuk menerapkan nilai berdaya tahan semasa menghadapi bencana. – UTUSAN
IBNU RASYEED MAT ISA
Pengerusi Jawatankuasa Kesukarelaan dan Belia Mahir, Majlis Belia Malaysia (MBM)