Berikan peluang kepadaPemuda MCA baharu

Berikan peluang kepada Pemuda MCA baharu

LING Tian Soon (kiri) telah dipilih sebagai Ketua Pemuda MCA yang baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM pemilihan MCA yang baru berlalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng, Ling Tian Soon telah dipilih sebagai Ketua Pemuda MCA yang baharu. Adakah Pemuda MCA akan kembali bangkit?

Jika kita imbas kembali ketika Pemuda MCA dipimpin oleh Tan Sri Lee San Choon dan Datuk Seri Wee Ka Siong, sayap itu dilihat sebagai penggerak utama parti itu sendiri serta sentiasa menjadi panglima barisan paling hadapan mengangkat suara rakyat Malaysia teramai.

Ketika itu, Pemuda MCA dilihat bangga mengenakan baju Pemuda MCA di merata-rata tempat serta kelihatan sentiasa komited mempamerkan diri sebagai sebahagian daripada barisan hadapan parti.

Ini adalah hasil daripada prinsip Pemuda MCA terdahulu yang dilihat sentiasa menjuarai perjuangan rakyat. Mereka tidak ragu-ragu untuk berdemonstrasi atau mengepalai protes jalanan, sentiasa terkehadapan dalam isu-isu yang memerlukan campur tangan pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sayap itu menghantar memorandum tuntutan rakyat, mengeluarkan kenyataan-kenyataan keras yang mengangkat suara rakyat serta sentiasa berani bersuara di barisan paling hadapan. Ketika itu, jumlah ahli Pemuda MCA adalah lebih dua kali ganda berbanding kini.

Tetapi selepas zaman kepimpinan Ka Siong, Pemuda MCA dilihat seolah-olah kehilangan suara keramatnya. Jika sebelum ini, Pemuda MCA dilihat sangat berprinsip, membenci sebarang tindakan yang tidak berintegriti, mempunyai kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada perjuangan, berani dan sentiasa jujur, tetapi kini Pemuda MCA seolah-olah hilang bisanya.

Syukur, takdir masih ingin melihat Pemuda MCA kembali bangkit. Sekumpulan anak muda baharu dalam kepimpinan Pemuda MCA telah bangkit dan berani menggalas tanggungjawab mengangkat kembali perjuangan asal Pemuda MCA.

Tanggungjawab itu kini berada di tangan Tian Soon dan pasukannya (termasuk penulis sendiri) untuk mengembalikan Pemuda MCA ke zaman kegemilangannya.

Sebagai pemuda, kami tidak risau gagal apatah lagi takut dengan risiko dalam perjuangan untuk bangkit semula kerana Tian Soon memiliki prinsip tersebut. Beliau tewas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Yong Peng dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dengan majoriti lebih 5,000 undi.

Namun, atas tekad, keberanian dan kerajinan beliau dan pasukan, DUN Yong Peng berjaya dirampas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022 dengan majoriti lebih 2,000 undi.

DUN Yong Peng yang berdemografikan 60% penduduk Cina berjaya dimenangi.

Jelas terbukti bahawa tekadnya untuk terus memperjuangkan suara penduduk kawasan tersebut telah mendapatkan kepercayaan.

Ini membuktikan DAP bukan satu-satunya pilihan terbaik bagi masyarakat Cina. Kini, MCA perlu bertekad dan mempunyai semangat baharu untuk mendapat lebih banyak sokongan pengundi pada PRU akan datang.

Dalam pada itu, ketika pemilihan parti, Tian Soon telah menawarkan pelan pemulihan semula Pemuda MCA dan bagi menjayakan pelan ini, sayap itu memerlukan lebih ramai ikon muda untuk membawa Pemuda MCA kembali ke landasan yang betul.

Mendapat mandat daripada pemilihan parti adalah langkah pertama dan langkah seterusnya adalah terus berjuang membawa MCA kembali kukuh untuk PRU akan datang.

Parti yang lebih moderat, berjuang demi kepentingan rakyat dan berani bersuara adalah kunci untuk MCA kembali menjadi pilihan utama rakyat.-UTUSAN

ANDY TEOH
Ahli Majlis Tertinggi Pemuda MCA Pusat

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya