SAUDARA PENGARANG,
PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius dapatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini mengenai perkembangan kemajuan Projek Pembangunan Kapal Peronda Generasi Kedua Kapal Tempur Pesisir (LCS) bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023.
Penyediaan maklumat jelas mengenai kos, masa dan perkembangan yang boleh diakses dengan mudah oleh orang awam atau pemegang saham dapat memberi gambaran tepat mengenai projek ini.
Keputusan untuk tidak mendapatkan persetujuan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi perjanjian tambahan (SA) wajar diteliti semula dan diberikan perhatian serius.
Berdasarkan senario ini, kami mendesak semua perjanjian kontrak dengan syarikat perlu dirujuk dan disemak oleh AGC bagi memastikan kepatuhan undang-undang.
MCW juga mengesa kawalan dan pemantauan terus ditingkatkan untuk memastikan projek ini dapat diselesaikan dalam masa lebih cepat dengan anggaran kos lebih jimat.
Kelewatan menyiapkan reka bentuk dan pelaksanaan perjanjian kontrak perlu diteliti dengan serius.
Kerajaan perlu lebih telus melibatkan pemegang saham, orang awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berminat secara aktif membuat pemantauan ke atas projek ini.
Keterlibatan orang awam yang berpengalaman dan NGO pasti dapat membantu menjaga akauntabiliti dalam pengurusan projek ini.
MCW mengambil maklum keputusan untuk mengurangkan bilangan LCS daripada enam kepada lima buah sebagai langkah yang baik dalam mengurangkan kos.
Namun, kita perlu memastikan keputusan ini tidak menjejaskan keupayaan pertahanan negara.
Selain itu, pengambilalihan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) oleh Ocean Sunshine Berhad (SPV) harus dilaksanakan dengan telus untuk mengembalikan kepercayaan pemegang saham, bank dan pembekal dalam pelaksanaan projek pembinaan LCS.
MCW juga mahu projek ini menjadi bukti bahawa kerajaan sedang mengotakan kata dalam memperkasa nilai integriti dan akauntabiliti pentadbiran negara.
Dalam perkembangan lain, kerajaan perlu memperkenalkan mekanisme pemantauan lebih ketat untuk memastikan tindakan tegas diambil terhadap teguran yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).
Kerajaan harus mewajibkan kementerian dan agensi mengemukakan pelan tindakan jelas untuk menangani isu-isu yang dicungkil atau dikesan dalam laporan tersebut.
Perlu juga ditingkatkan kerjasama antara kementerian dan PAC untuk memastikan tindakan segera dan berkesan diambil.
Setiap menteri harus lebih tegas memainkan peranan dengan lebih prihatin dan meneliti secara serius setiap teguran menerusi LKAN tersebut.
Ini terutamanya berkaitan perbelanjaan, ketirisan atau tidak menepati syarat serta peraturan dalam peruntukan kewangan atau agensi yang terlibat. – UTUSAN
JAIS ABDUL KARIM, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)