Belia tunggu kejutan diskaun PTPTN - Utusan Malaysia

Belia tunggu kejutan diskaun PTPTN

DISKAUN bayaran balik PTPTN boleh membantu meningkatkan wang yang boleh digunakan warga belia. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MAJLIS Belia Malaysia (MBM) cakna dengan pengumuman Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini yang menyatakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak berhasrat meneruskan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Belanjawan 2024 yang dibentangkan hari ini.

Bagaimanapun, Mohamed Khaled berkata, apa-apa keputusan sebaliknya tertakluk kepada Kementerian Kewangan (MOF).

Dalam Belanjawan 2023, kerajaan memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 20 peratus selama tiga bulan bermula 1 Mac hingga 31 Mei lalu.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk tempoh enam bulan bagi meringankan beban kewangan mereka.

MBM ingin memohon KPT untuk mempertimbangkan semula pendirian tidak berhasrat meneruskan diskaun bayaran balik PTPTN tersebut atas beberapa sebab.

Pertama, umum mengetahui inisiatif sangat baik ini bukan suatu perkara baharu tetapi telah dilaksanakan sejak sekian lama dan diteruskan dalam Belanjawan 2023 dengan beberapa penambahbaikan berdasarkan kelayakan.

Melalui inisiatif ini, kerajaan berjaya menarik perhatian hampir 700,000 peminjam untuk melakukan pembayaran semula secara konsisten sejak diperkenalkan.

Walaupun nisbah pembayar dan peminjam tidak mapan, namun diakui sejak ia diperkenalkan, PTPTN berjaya mengutip semula hampir RM20 juta daripada peminjam.

Kedua, MBM percaya penerusan inisiatif diskaun bayaran balik ini adalah satu usaha murni yang pragmatik bagi menggalakkan warga belia peka akan tanggungjawab membayar semula pinjaman serta memastikan peluang saksama diberikan kepada bakal peminjam.

Ia juga akan membantu mengurangkan beban ekonomi dan meningkatkan wang boleh digunakan warga belia khususnya mereka yang baharu memulakan pekerjaan ataupun peminjam bekerja dalam lingkungan pendapatan rendah dan sederhana.

Hal ini secara tidak langsung dapat mengurangkan beban kos sara hidup yang membelenggu rakyat terutama warga belia.

Ketiga, MBM percaya insentif diskaun bayaran balik ini juga adalah mekanisme efektif bagi membantu kestabilan kewangan belia yang baharu sahaja melangkah ke alam pekerjaan dan membina kehidupan.

Dengan cabaran untuk mendapatkan pekerjaan setara dengan kelayakan, gaji permulaan graduan yang rendah dan sebagainya, penerusan usaha murni inisiatif bayaran balik ini sudah pasti akan dihargai golongan belia secara keseluruhannya.

Yang terakhir, MBM ingin mencadangkan supaya PTPTN memperkasa dan menambah baik saluran pembayaran semula sebagai langkah lebih mapan.

Ia melibatkan kerjasama yang telah dan sedang dijalankan bersama pihak bank, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain dalam usaha menggalakkan pembayaran semula pinjaman.

Langkah proaktif seperti penstrukturan semula kadar bayaran bulanan atau sebagainya boleh dijalankan bagi memastikan peminjam akan terus cakna dengan tanggungjawab membayar semula pinjaman mereka.

Justeru, MBM berharap KPT dapat melakukan konsultasi berterusan bersama MOF untuk memastikan inisiatif diskaun bayaran balik ini sebagai agenda keutamaan dalam pembentangan belanjawan kali ini bagi membela agenda belia. – UTUSAN

MOHD. IZZAT AFIFI ABDUL HAMID, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya