SAUDARA PENGARANG,
PERANAN utama yang harus digarap oleh golongan belia adalah menguasai ilmu pengetahuan semaksimum mungkin supaya mereka didedahkan dengan pelbagai kemungkinan yang mampu menjadi pemangkin kejayaan diri atau negara pada masa akan datang. Dengan kemudahan teknologi, tiada alasan yang menjadi penghalang untuk mendapatkan sebarang ilmu dan pengetahuan.
Ibu, bapa dan guru wajar memberikan sokongan untuk mereka mempelajari bidang pendidikan yang diminati serta pendedahan terhadap pengetahuan am yang penting. Hasilnya, mereka yang mempunyai ilmu tentang perkara yang telah berlaku dan melihat realiti kehidupan pasti dapat menzahirkan sesuatu lebih berguna kepada diri sendiri, keluarga mahupun masyarakat.
Selain itu dari sudut pekerjaan, mereka yang mempunyai keterampilan menarik akan lebih menyerlah berbanding mempunyai pencapaian akademik tetapi tiada kemahiran interpersonal. Oleh itu, golongan belia perlu sentiasa belajar untuk memperbaiki diri dari hari ke hari. Bak kata pepatah Melayu, belakang parang pun kalau diasah nescaya tajam.
Dalam dunia semakin kompetitif, semangat tidak berputus asa dan konsisten dalam mempelajari sesuatu yang baharu hendaklah diamalkan oleh golongan belia.
Sekiranya berlaku kejutan ekonomi seperti pandemik Covid-19, kemahiran di luar bidang pekerjaanlah yang akan digunakan untuk menampung diri dan keluarga.
Golongan belia perlu menyiapkan diri untuk menghadapi pelbagai cabaran dan ketidaktentuan pada masa hadapan.
Usahasama pihak berkuasa dalam membentuk ekonomi dan masyarakat yang seimbang untuk semua golongan mustahak supaya inisiatif golongan belia untuk membawa kemajuan kepada negara tidak dihalang atau dibantah mentah-mentah.
Dalam mengecapi wawasan masyarakat minda kelas pertama, golongan muda hendaklah memelihara kesihatan dari segala aspek sama ada fizikal, mental dan juga kerohanian.
Dari segi fizikal, Malaysia pernah dikategorikan sebagai antara negara yang mempunyai kes obesiti tertinggi di rantau Asia Tenggara. Oleh itu, data memalukan ini perlu diubah dan golongan belia mampu menjadi pemangkin kepada perubahan imej masyarakat negara yang lebih baik dengan mengamalkan pemakanan sihat dan bersukan.
Golongan belia sepatutnya menghabiskan masa lapang dengan melakukan aktiviti riadah dengan menjadikannya medan utama untuk bersosial dan bukan di kelab hiburan.
Bahkan, sukan merupakan ejen penyatuan masyarakat yang sangat mudah serta penting untuk perpaduan bangsa.-UTUSAN
AMIR AKHMAL BAHARIN
Pengerusi MIKSAS Zon Taiping