SAUDARA PENGARANG,
LANGKAH kerajaan mengehadkan yuran pendaftaran masuk ke universiti awam tidak melebihi RM1,500 bermula Januari 2024 akan memberi peluang lebih luas kepada pelajar tidak berkemampuan untuk memulakan pengajian.
Semoga dengan langkah ini, pelajar-pelajar susah yang tidak berhasrat menyambung pengajian kerana ingin menyara keluarga dan mereka dari pendalaman akan mendapat semangat baharu.
Universiti Putra Malaysia (UPM) tidak mempunyai masalah menyambut hasrat kerajaan untuk memperkasakan kebajikan pelajar berikutan Bahagian Hal Ehwal Pelajar telah melaksanakan langkah untuk pelajar kurang berkemampuan selama ini.
UPM melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar menyediakan pelbagai bantuan kepada golongan pelajar susah, asnaf dan B40 yang layak melalui Tabung Kebajikan Pelajar Wakaf, Zakat dan Endowmen bagi meringankan beban mereka.
UPM turut aktif mengumpul dan menyalurkan sumbangan serta derma daripada pihak luar atau penaja kepada golongan B40 yang layak.
Universiti ini juga terlibat dengan bantuan Program Dermasiswa Sulong yang disarankan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk membiayai pendidikan generasi pertama dalam keluarga B40 yang melanjutkan pengajian ke universiti.
Kita setuju peraturan pembayaran oleh universiti harus mengambil kira kebajikan pelajar seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri dalam Belanjawan 2024: Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat.
Menyentuh bajet RM1 juta kerajaan kepada setiap universiti awam untuk Program Pemulihan Dalam Komuniti OKU (orang kurang upaya), langkah ini juga akan meningkatkan jumlah pelajar OKU masuk ke universiti.
UPM telah menyediakan kerangka kukuh dalam menyokong komuniti OKU seperti Garis Panduan Pelaksanaan Kampus Inklusif OKU, Dasar Inklusif OKU 2020, Jawatankuasa Kampus Inklusif OKU, Audit MyU OKU, Bulan Kesedaran Kampus Inklusif OKU, buddies yang sentiasa mengambil berat pelajar OKU, elaun khas OKU, masa tambahan bagi pembelajaran, menyokong erat Persatuan Mahasiswa OKU untuk pemerkasaan mahasiswa OKU.
Selain itu UPM sentiasa menaik taraf kemudahan OKU di universiti.-UTUSAN
DATUK PROFESOR DR. AHMAD FARHAN MOHD. SADULLAH
Naib Canselor
Universiti Putra Malaysia (UPM)