SAUDARA PENGARANG,
MASALAH rasuah dalam sektor awam umpama warisan yang ditinggalkan orang atasan yang mengajar orang baharu untuk menerimanya sebagai amalan kebiasaan hingga menyebabkan gejala ini sukar dibendung.
Berdasarkan laporan media massa dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kes-kes rasuah melibatkan penjawat awam berpunca daripada faktor pematuhan integriti dalam kalangan mereka yang sangat rendah dan gejala ini kelihatan amat menakutkan.
Bagaimanapun, dari sudut positif, jumlah kes yang dilaporkan kelihatan banyak tetapi hakikatnya membabitkan segelintir penjawat awam sahaja.
Senario ini umpama duri dalam daging. Perlakuan segelintir kakitangan kerajaan ini merosakkan nama perkhidmatan awam dan imej negara secara keseluruhannya.
Oleh itu, ujian psikometrik penjawat awam perlu diperkasa dan diperkemaskan selaras dengan teknologi terkini bagi mengenal pasti golongan berisiko.
Setiap pegawai kerajaan khususnya agensi penguat kuasa mesti diwajibkan menduduki ujian psikologi atau psikometrik setiap tahun untuk menguji tahap integriti dan pemahaman berkenaan integriti.
Penguatkuasaan undang-undang dan hukuman terhadap penjawat awam yang terbukti korup mesti lebih tegas dan berat tanpa bertangguh.
Pendidikan secara berterusan juga tidak boleh diabaikan kerana ia mempunyai impak tinggi. Keberkesanan latihan, etika dan kesedaran tentang bahaya rasuah perlu ditingkatkan.
Dalam pada, perlu dijalankan audit berterusan terhadap perbelanjaan awam kerana ia dapat membantu mengesan sebarang ketirisan dan penyalahgunaan dana. – UTUSAN
JAIS ABDUL KARIM, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)