SAUDARA PENGARANG,
MUTAKHIR ini sudah semakin ramai anak muda berjinak-jinak dengan rokok elektronik (e-rokok) setelah masyarakat menolak penggunaan vape.
Bahkan sesetengah mereka menganggapnya sebagai alternatif yang kurang berbahaya kepada penghisap rokok konvensional sejak pertama kali muncul dalam pasaran lebih sedekad lalu.
Sebenarnya terdapat banyak kajian dilakukan untuk menilai keselamatan atau toksik penggunaan e-rokok sama ada dalam vivo dan kultur sel in vitro.
Salah satu kajian pertama pada manusia seperti dilaporkan Schober W et. al. melibatkan analisis sembilan sukarelawan yang menggunakan e-rokok dengan atau tanpa nikotin dalam bilik berventilasi selama dua jam. Bahan pencemar dalam udara dalaman, nitrik oksida (NO) yang dihembus dan profil metabolit kencing dianalisis.
Keputusan mendedahkan e-rokok tidak bebas pelepasan dan zarah ultrafne terbentuk daripada propilenaglikol (PG) boleh dikesan dalam paru-paru. Kajian juga menunjukkan kehadiran nikotin dalam e-rokok meningkatkan tahap NO yang dihembus daripada pengguna dan menimbulkan keradangan saluran pernafasan ketara.
Kajian terkini dikesan secara ketara tahap metabolit sebatian berbahaya termasuk benzena, etilena oksida, akrilonitril, akrolein dan akrilamida dalam air kencing dua remaja (pengguna e-rokok dan rokok tembakau konvensional). Apa yang mengejutkan adalah paras air kencing metabolit lebih kurang sama antara kedua-duanya.
Selain itu, e-rokok memberi kesan kepada sistem imun manusia. Bahkan penggunaan peranti ini dikaitkan dengan kematian mengejut.
Pada Ogos 2019, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mengisytiharkan wabak e-cigarette or vaping product use-associated lung injury (EVALI) yang menyebabkan beberapa kematian utamanya berpopulasi orang muda.
Selain kesan buruk nikotin terhadap aktiviti fisiologi, ia juga dilaporkan menggalakkan kelangsungan hidup sel tumor dengan mengurangkan apoptosis serta meningkatkan percambahan sel kanser.
Bahkan, Islam melihat aktiviti merokok kepada dua kesan buruk utama iaitu memberi kesan buruk kepada kesihatan dan pembaziran kepada perkara yang sia-sia.
Merokok juga turut memberi kesan buruk kepada yang lain, khususnya orang berada di sekitar perokok selain pembaziran terhadap harta benda.-UTUSAN
DR. MUHAMAD RAFIQI HEHSAN dan ZULKIFLI DAHALAN
Kuala Lumpur