Bank perlu henti kejar untung sahaja - Utusan Malaysia

Bank perlu henti kejar untung sahaja

PELBAGAIKAN produk takaful mampu milik untuk semua golongan masyarakat. – GAMBAR HIASAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada menyebut mengenai pendekatan sektor kewangan Islam di negara ini yang masih belum memenuhi maksud maqasid syariah berteraskan keadilan dan maslahat buat semua.

Ini kerana sektor kewangan Islam masih menggunakan instrumen kewangan sama dengan bank konvensional.

Sehubungan itu, Anwar mengumumkan kerajaan akan menyelaras semula sektor kewangan Islam termasuk memperkenalkan Amalan Perantaraan Berasaskan Nilai (VBI) dalam usaha memperkasa impaknya agar berpeluang memberikan kesaksamaan, kesejahteraan dan kemakmuran kepada semua peringkat masyarakat.

Bagi saya, usaha kerajaan memperkasakan VBI patut dipandang serius oleh kita semua khususnya industri perbankan, takaful dan pasaran modal.

Transformasi objektif perniagaan daripada keuntungan semata-mata kepada keuntungan, manusia dan planet menjamin keadilan dan akses perkhidmatan kewangan yang sama rata.

Polisi ini selaras dengan keperluan maqasid syariah dalam pemeliharaan agama, nyawa, keturunan, akal dan harta.

Ia juga memenuhi keperluan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam membasmi kemiskinan dan kesejahteraan kehidupan.

Sebagai contoh, pelbagaikan dan perbanyakkan produk takaful mampu milik untuk semua golongan masyarakat bagi melindungi diri, keluarga dan aset bagi kesejahteraan kehidupan.

Juga, galakkan industri perbankan menawarkan produk perkongsian keuntungan bersama pelanggan sambil mengurangkan pergantungan kepada pembiayaan.

Galakan penerbitan sukuk hijau dalam pelbagai instrumen termasuk wakaf yang boleh memberi impak kepada pemeliharaan alam sekitar dan pendidikan masyarakat setempat.

Akhir sekali, perkenal pendigitalan perkhidmatan kewangan yang memanfaatkan kewangan sosial seperti teknologi rantaian blok dalam kutipan zakat dan pengurusan dana Islam secara digital. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. RUZIAN MARKOM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya