SAUDARA PENGARANG,
DALAM dunia yang digerakkan oleh kemajuan teknologi, media sosial memainkan peranan penting dalam mempercepat perkongsian data dan memudahkan pemindahan maklumat dalam kalangan pengguna setiap hari.
Bagaimanapun, platform dalam talian ini disalahgunakan oleh pengguna tidak bertanggungjawab untuk memanipulasikan berita dan menularkannya dalam sekelip mata hanya untuk mencari publisiti daripada awam.
Menurut penyelidikan bertajuk Personalised Privacy in Open Data Sharing Scenarios, kira-kira 64 peratus pengguna internet di negara maju berdepan risiko besar mengalami kebocoran data peribadi dan pelanggaran hak privasi akibat aktiviti viral di media sosial.
Walaupun Perlembagaan Persekutuan bukan seperti bidang kuasa lain tidak memperuntukkan hak privasi dengan jelas dalam peruntukannya, Gopal Sri Ram FCJ dalam kes Sivarasa Rasiah lwn. Badan Peguam Malaysia (2010) 2 MLJ 333 merujuk kepada penghakiman Kharak Singh lwn. State of Uttar Pradesh Air 1963 SC 1295 telah menyatakan bahawa “Berdasarkan semakan pihak berkuasa, ‘kebebasan peribadi’ sepertimana termaktub dalam Perkara 5(1) merangkumi hak-hak lain termasuk hak untuk privasi.”
Namun begitu, keputusan ini hanyalah sekadar obiter dictum dan tidak akan mengikat semua mahkamah di Malaysia. Jadi, adalah wajar untuk mengambil perhatian bahawa pelanggaran terhadap mana-mana hak asasi pada Bahagian II Perlembagaan Persekutuan termasuk hak untuk privasi walaupun tidak disebut secara khusus akan menjadi suatu kesalahan di sisi undang-undang.
Dalam keadaan sama, tindakan menularkan hantaran, gambar, video dan kenyataan pengguna lain sehingga tahap boleh membawa kontroversi dan komen negatif kepada mangsa tular, mesti diteliti memandangkan mahkamah telah memutuskan pencabulan hak privasi adalah satu jenayah dan boleh dihukum.
Seperti dinyatakan dalam kes terkenal Maslinda Ishak lwn. Mohd Tahir Osman (2009) 6 CLJ 653, panel terdiri daripada tiga hakim Mahkamah Rayuan telah mensabitkan seorang Pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengambil gambar seorang wanita kelab malam yang sedang membuang air kecil semasa di bawah tahanan mereka.
Bak kata pepatah, berfikir sebelum bertindak!-UTUSAN
MUHAMMAD AIMAN FIRDAUS KAMAL NOR AZMAN
Tasek Gelugor, Pulau Pinang