Album terbaharu Siti Nurhaliza ada ciri kemelayuan - Utusan Malaysia

Album terbaharu Siti Nurhaliza ada ciri kemelayuan

MINGGUAN Malaysia 1 Oktober 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

WARTAWAN Mingguan Malaysia, Mohd. Fadli Mohd. Sulaiman menerusi tulisan dalam Pancaindera bertajuk Sitism: Hilangnya pop kemelayuan dalam ilham futuristik yang disiarkan pada 1 Oktober lalu, saya anggap ulasan yang agak tergesa-gesa tanpa melihat dari pelbagai sudut holistik.

Terutamanya apabila dia membuat kesimpulan album solo ke-20, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin bertajuk Sitism sudah tidak lagi bermain dengan laras bahasa yang benar-benar mengangkat ciri kemelayuan. Baik dari segi metafora, hiperbola, persona­fikasi dan teknik penceritaannya.

Di awal penulisannya, Mohd. Fadli cuba mengaitkan nama-nama besar seperti Saari Amri, Ajai Azmeer dan Adnan Abu Hassan untuk menekankan bahasa yang digunakan di setiap lagu dalam Sitism kurang penanda aras yang mengangkat ciri kemelayuan bait indah dan puitis.

Walhal bait setiap lagu dalam Sitism meskipun menggambarkan sesuatu yang futuristik, tetap mengekalkan ciri pop khas kemelayuan.

Itulah mengapa di awal perenggan penulisan ini, saya menekankan perlunya holistik dalam membuat penilaian.

Selain itu, apabila dia berulang kali memetik perbandingan lirik lagu yang ditulis oleh Saari Amri, lalu membuat perbandingan album Sitism dengan hanya sebuah lagu.

Memaparkan lagi kedangkalan logiknya, sekiranya dia seorang yang jujur, sepatutnya buatlah perbandingan album dengan album.

Jika ditelusuri secara mendalam, lagu pertama dalam album Sitism bertajuk Menyapa Dunia lirik oleh Melly Goeslaw banyak menyulam bait kemelayuan yang menggambarkan indahnya lirik tersebut.

Lirik Dalam peluk nada-nada cinta dan kalimah dalam syairku, berzaman-zaman aku melewati tak pernah kamu mengasingkan aku adalah bait yang mempunyai rima khas puisi kemelayuan.

Pembukaan album sahaja sudah dipaparkan puitis kemelayuan yang bergemerlapan, sehinggalah lagu-lagu seterusnya sampai lagu penutup iaitu Ku Sedari, terserlah indah bait pujangga ciri khas itu.

Terlalu panjang sekiranya saya ingin bedah semua, cukup saya fokus kepada kritikan beliau yang juga cuai menggambarkan Sitism sudah tidak lagi bermain dengan laras bahasa yang benar-benar mengangkat ciri kemelayuan. Baik dari segi metafora, hiperbola, persona­fikasi dan teknik penceritaannya.

Menilai album perlu kepada penilaian menyeluruh serta berdiri di atas nama keadilan. Oleh itu, tidak adil terus membakulsampahkan lalu menghukum tidak mengangkat harkat ciri kemelayuan dengan mengulas secara ikut suka sedangkan diri sendiri kurang meneliti, memahami mahupun mentelahi secara konseptual dan kontekstual album Sitism.

Perlu diketahui, lagu bernuansa irama Malaysia ini sudah ditunggu-tunggu oleh seantero liga dunia peminat Siti Nurhaliza.

Malah, dunia turut mengenali Siti Nurhaliza menerusi salah satu lagu-lagu irama Malaysia. Kewujudan lagu Jikalau Berkasih yang dimuatkan dalam album Sitism adalah momen terindah, bahkah industri muzik Nusantara dikejutkan dengan seorang legenda rock mampu menyanyikan dengan berbakat sekali ketika berduet dengan Siti Nurhaliza.

Inilah yang dikatakan suri teladan bagi artis-artis baharu yang sepatutnya tidak hanya selesa dengan genre muzik mereka, malah perlu mencabar diri meneroka benda baharu dalam dunia muzik yang cukup luas ini.

Sementelahan kewujudan lagu ini merupakan pelengkap dinamika seorang Siti Nurhaliza dalam membawa ideologi, jati diri serta identiti yang jelas sebagai seorang artis yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. – UTUSAN

CIKGU YANA, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya