SAUDARA PENGARANG,
SAYA terpanggil untuk menulis setelah membaca ruang Minda Pengarang Utusan Malaysia pada 9 Oktober lalu betajuk ”Apabila budaya membaca itu sudah mati”.
Saya juga seperti pembaca tegar tersebut ialah pembaca setia akbar tuan. Melanggan akhbar ini hampir 30 tahun. Ia sudah termasuk dalam bajet perbelanjaan bulanan kami.
Saya tidak ada Facebook, tidak pandai berWhatsApp apatah lagi berTikTok sebab tidak memiliki telefon bimbit. Bukan anti kemajuan. Mungkin faktor usia yang hampir ke senja membuatkan saya tidak terdorong ke arah itu.
Yang pastinya saya mahukan ketenangan di hujung-hujung usia ini. Cuma suami saja yang ada sebuah telefon bimbit yang harganya tidak sampai pun RM70. Itu sudah memadai untuk berhubung dengan anak- anak. Anak-anak pun suka membaca.
Alhamdulillah. Sumber maklumat saya selain radio dan televisyen pastinya lah surat khabar. Dari saiznya yang besar, dah kecil sedikit tetapi isi di dalamnya tetap hebat dengan maklumat yang terkini.
Semoga Utusan Malaysia terus sukses. Tidak akan berulang lagi tragedi terhenti sekelap (sekejap) seketika dulu. Memanglah rasa sedih namun tetap juga membaca akhbar-akhbar keluaran yang lain.
Semoga terus menyalurkan maklumat kepada kami. Dan kini menjadi seronok pula mencari jawapan di ruang silang kata. Tak sabar untuk menunggu keluaran esoknya untuk tengok jawapannya.
Dilindungi Allah jua kalian hendaknya. Sihat sejahtera akhirnya, maaf dari saya andai tulisan kurang memuaskan dan bahasa tidak berapa menarik.
Tetapi inilah dia yang dapat dituliskan oleh seorang warga emas dengan pandangan yang terkadang kabur, tetapi tetap juga mencari dan menatap sesuatu yang dinamakan surat khabar.-UTUSAN
ASMAEYAH HJ. IDRIS
Peneroka Felda Lurah Bilut, Bentong, Pahang