SAUDARA PENGARANG,
DARI sudut perspektif usia, pengalaman dan pengaruh, saya berpendapat lebih layak serta afdal atas perkiraan matematik politik bahawa calon dari Pas dilantik mengisi jawatan Ketua Pembangkang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Ini kerana berdasarkan kemenangan mudah calon Pas dengan majoriti besar dan kejayaan itu tidak boleh dipertikaikan lagi.
Keseluruhan daripada jumlah 11 kerusi yang dimenangi pihak pembangkang, Perikatan Nasional (PN) termasuk empat dimenangi calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah sesuatu yang amat membanggakan .
Kombinasi seperti ini harus berpanjangan serta dilakukan secara ikhlas dalam usaha menggamit sokongan bukan sahaja orang Melayu malah rakyat berbilang kaum.
Malah, dalam situasi politik terkini di Pulau Pinang, rakyat khususnya orang Melayu dan Islam sudah ada pilihan platform politik baharu di bawah PN diterajui Pas.
Maka, sepatutnya tiada isu perebutan dalam pelantikan Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang sehingga mampu mendatangkan situasi tidak sihat dalam kalangan barisan kepimpinan komponen parti pembangkang.
Keutamaan sekarang adalah berkhidmat kepada rakyat atas kapasiti sebagai pembangkang berwibawa serta bertanggungjawab.
Mereka perlu berani berbahas serta menentang kemungkaran secara profesional selain tidak mudah tunduk serta berkompromi dalam setiap polisi serta dasar dari pelbagai elemen yang tidak memberi faedah kepada rakyat.
Justeru, kepimpinan tertinggi PN harus menterjemahkan isu berkenaan dalam situasi harmoni dan dijauhkan daripada sifat ego dan tamak. – UTUSAN
RAHMAD ISAHAK, Aktivis politik