Utamakan kepentingan ummah, bukan kelompok

Utamakan kepentingan ummah, bukan kelompok

ISU politik telah diputarkan pihak tertentu saban hari seolah-olah ia tiada kesudahan sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada 2008.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

JIKA diimbau sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada 2008, ada sahaja isu politik diputarkan pihak tertentu saban hari seolah-olah tiada kesudahan.

Semua isu hendak dipolitikkan sehingga kadangkala terlupa kepentingan untuk membangunkan negara bangsa.

Perkembangan mutakhir senario politik negara semakin berbahang sejak PRU15 diikuti pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri dan kini Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Isu-isu dibangkitkan pelbagai pihak jika tidak dibendung mampu mencetuskan provokasi perkauman dan keagamaan yang dikhuatiri bakal menggugat keharmonian dan perpaduan kaum di negara tercinta ini.

Saya melihat ada pihak-pihak yang adakalanya ingin menangguk di air keruh kerana diyakini berpihak kepada kepentingan perjuangan politik mereka.

Jika tidak dikawal, ia ibarat api dalam sekam, semakin lama semakin merebak apinya. Begitu juga kesepakatan antara rakyat boleh tergugat apabila ada kaum tertentu dari parti tertentu seolah-olah tidak lagi menghormati sensitiviti kaum lain apabila bermain isu melibatkan agama.

Pemimpin Melayu Islam pun dilihat bertelagah sesama sendiri hanya kerana perbezaan fahaman politik yang kadangkala didapati merugikan diri sendiri.

Ada tergamak mempertahankan perbuatan yang dianggap kurang beradab oleh pemimpin bukan Islam semata-mata atas dasar kepentingan politik parti masing-masing hingga adakala tindakan itu dilihat umum mencemarkan Islam.

Rakyat akan menjadi lebih keliru dengan pemimpin Melayu Islam kerana ada ketikanya kenyataan dikeluarkan dilihat terlalu kontra antara satu sama lain. Ada-ada sahaja perkara cuba ditimbulkan oleh sesuatu pihak secara segera dipatahkan dengan hujah yang adakala dikaitkan dengan fahaman agama oleh pihak satu lagi.

Ini menjadi kerisauan kepada rakyat khususnya orang Melayu Islam. Pemimpin sepatutnya menjadi contoh yang baik pada rakyat.

Melihat kepada ketokohan dan latar belakang pendidikan pemimpin terbabit, sepatutnya mencari titik pertemuan untuk bersatu dan menjaga kepentingan ummah, bukannya cenderung ke arah mempertahankan kepentingan politik parti masing-masing.

Jangan hanya kerana ingin mendapat kuasa politik, maka penyelesaian kepada kekeliruan ummah dibiarkan begitu sahaja. Pertelingkahan umum membabitkan pemimpin Melayu Islam hanya disebabkan perbezaan ideologi politik sedangkan hakikatnya isu ini boleh disepakati secara bersama di meja rundingan.

Lebih mendukacitakan jika ada pemimpin Melayu Islam seolah-olah menjadi kuda tunggangan pihak lain yang jelas menentang Islam.

Setiap pemimpin Melayu Islam harus berhati-hati dalam mengeluarkan hujah apatah lagi melibatkan hukum agama. Jangan sewenang-wenangnya mengeluarkan fatwa yang boleh mengelirukan rakyat tanpa hujah-hujah konkrit dan berasas.

Rakyat mahukan pemimpin Melayu Islam yang telus serta menjiwai agama, bukannya pemimpin yang menggunakan agama untuk kepentingan diri dan parti.

Setiap pemimpin harus bertanggungjawab dengan sebarang kenyataan dikeluarkannya dan jangan pula menidakkan perkara yang telah diucapkannya dengan menyalahkan media massa.

Justeru, sebarang kenyataan oleh pemimpin politik Melayu mestilah meletakkan kepentingan ummah, bukannya kepada kelompok tertentu sahaja.-UTUSAN

NADZIR AWANG AHMAD @ SAID
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya